'Saya ibarat mati hidup semula'

Zuriati (kiri) berkongsi kisahnya dalam membina kekuatan diri selepas dibebaskan daripada pertuduhan penggubahan wang haram.
Zuriati (kiri) berkongsi kisahnya dalam membina kekuatan diri selepas dibebaskan daripada pertuduhan penggubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Jika dahulu saya berada di puncak, mengecap segala kemewahan namun kini hidup saya berubah dalam sekelip mata," luah seorang jurulatih perunding insurans ketika dihadapkan 25 pertuduhan kes pengubahan wang haram bernilai RM1.8 juta beberapa tahun yang lalu.

Zuriati Mohamed Yusoff, 49, berkata, bagaimanapun kini beliau bagaikan diberi nafas baharu untuk bangkit semula setelah dibebaskan daripada semua pertuduhan tersebut.

Menceritakan dari awal ketika disabitkan kesalahan tersebut, jelas beliau, keadaan hidupnya berubah dalam sekelip mata.

"Bayangkan dari seorang yang tidak mempunyai masalah dalam wang, berkereta mewah, hidup senang, keadaan menjadi sebaliknya apabila akaun saya dibekukan.

"Dari mempunyai kereta BMW, saya terpaksa meminjam kereta adik untuk pergi ke mana-mana. Dari rumah banglo yang saya diami bersama keluarga, saya terpaksa menyewa di sebuah rumah yang kecil," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini pada Selasa.

Katanya, kekuatan utama dirinya hanya bersandarkan sokongan keluarga untuk bangkit semula.

"Apa yang saya lalui bukan satu jalan mudah, sehingga sampai satu tahap saya mengalami tekanan perasaan disebabkan pelbagai kata-kata negatif dilontarkan kepada saya.

"Mujurlah suami dan anak-anak tidak putus-putus memberikan dorongan dan semangat untuk saya memulakan hidup baru, dengan semangat ini saya merasakan seolah-olah mati hidup semula," katanya.

Zuriati (kiri) bersama peguamnya, Wan Azmir ketika sidang media di Menara Dato Onn pada Selasa.
Zuriati (kiri) bersama peguamnya, Wan Azmir ketika sidang media di Menara Dato Onn pada Selasa.

Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, anak guamnya telah didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram.

"Anak guam saya didakwa memperdaya seorang individu bergelar VVIP bagi mendapatkan satu cek bernilai RM1,849,719.75 dengan memalsukan resit pembelian enam polisi insurans yang mana adalah tidak wujud.

"Perbicaraan yang telah berlangsung selama sembilan hari secara keseluruhannya merangkumi keterangan yang diberikan 24 saksi pendakwaan sebelum Hakim Mahkamah Sesyen mengarahkan anak guam saya untuk membela diri. Enam saksi telah dikemukakan oleh anak guam saya di peringkat pembelaan termasuk seorang saksi pakar," katanya.

Jelas beliau, setelah hampir dua minggu selepas penghakiman dikeluarkan, anak guamnya bersyukur dengan perintah pelepasan dan pembebasan ke atas kesemua pertuduhan.

"Perjuangan beliau secara keseluruhan membuktikan setiap ejen Unit Amanah dan Takaful di Malaysia mempunyai hak untuk berjuang atas segala tuduhan pelanggan mereka di mahkamah," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Zuriati yang juga bekas pengarah sebuah syarikat agensi insurans didakwa menerima wang berjumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa bank milik syarikat Millionaire Synergy Sdn Bhd.

Bagi empat pertuduhan, Zuriati didakwa menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui cek bank sebagai pembayaran kepada dirinya dan seorang individu lain.

Manakala, bagi 20 pertuduhan lain, tertuduh didakwa memindahkan wang antara RM10,000 hingga RM435,080 daripada akaun semasa syarikat itu ke dalam akaun miliknya dan 17 individu berbeza.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini antara 21 Mei hingga 6 Julai 2018.

Pendakwaan terhadap Zuriati dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!