Isu lafaz cerai Hafidz Roshdi pada 9 Mei

Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada
Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada
A
A
A

SHAH ALAM - Sebutan semula kes pelakon, Hafidz Roshdi dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri di Mahkamah Rendah Syariah di sini berhubung isu lafaz cerai kali pertama menerusi aplikasi WhatsApp, ditetapkan pada 9 Mei depan.

Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, selaku plaintif, memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu tersebut.

Semasa prosiding, Akberdin berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan pada Selasa untuk sebutan kali pertama prosiding lafaz cerai.

"Bagaimanapun, selepas menerima tuntutan balas semalam, Hafidz terkejut sebab kononnya dia telah melafazkan talak lebih awal iaitu pada 22 Januari lalu.

"Sedangkan dalam permohonan cerai sebelum ini, lafaz itu dibuat pada 22 Februari dan ia tidak pernah dibangkitkan oleh pihak defendan," katanya.

Justeru, beliau memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh baharu bagi menjawab perkara tersebut.

Selain Akberdin, Hafidz turut diwakili peguam syarie, Ummi Kartini Abd Latiff.

Sementara itu, peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf yang mewakili Nurul Shuhada, 29, selaku defendan mengesahkan, pihaknya telah memfailkan satu pembelaan dan tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu.

"Lafaz cerai pertama dibuat pada 22 Januari secara WhatsApp dan kami tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan semula kes itu," katanya.

Hafidz dan Nurul Shuhada telah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah di sini pada 27 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Pada 22 Februari, Hafidz dipercayai melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.

Kemelut rumah tangga salah seorang finalis Hero Remaja itu mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendakwa pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Kemudian muncul pula wanita bernama Athira Yuhada yang mengakui Hafidz pernah cuba mendekatinya sejak sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, Athira mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada Nurul Shuhada selepas didakwa menganggu-gugat kebahagiaan rumah tangga mereka.

Namun, Nurul Shuhada dalam perkongsiannya di laman Instagram bersedia pula memberitahu dia boleh memaafkan Athira tapi tidak akan melupakan apa yang sudah berlaku.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!