Tiada tempahan petak berbuka puasa di Padang MBK 1

Tiada sebarang tempahan petak ditetapkan kepada pengunjung yang mahu berbuka puasa di padang MBK 1 sepanjang Ramadan ini.
Tiada sebarang tempahan petak ditetapkan kepada pengunjung yang mahu berbuka puasa di padang MBK 1 sepanjang Ramadan ini.
A
A
A

KUANTAN - Tiada sebarang tempahan petak ditetapkan kepada pengunjung yang berhasrat untuk meneruskan tradisi berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 sepanjang Ramadan ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, acara tradisi itu kembali seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

"Ia sama seperti dulu, orang ramai boleh keluar masuk dan memilih lokasi di padang serta boleh membentangkan tikar untuk berbuka puasa.

"Orang ramai tidak perlu lagi membuat tempahan petak seperti tahun lalu. Kita jangka mungkin kawasan padang itu sedikit sesak kerana orang ramai akan mengambil peluang untuk menyambung semula tradisi berbuka puasa selepas berehat panjang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tahun lalu, MBK menyediakan 136 petak buat pengunjung yang mahu berbuka puasa di padang terbabit dan tempahan dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh yang dirancang

Padang MBK1 menjadi pilihan utama untuk berbuka puasa kerana ia terletak bersebelahan Bazar Ramadan Dataran Mahkota dan berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah.

Ini pasti akan memudahkan pengunjung untuk menunaikan solat Maghrib selepas berbuka puasa bersama solat Isyak dan Terawih.

Amalan berbuka puasa di padang MBK1 telah bermula sejak dahulu lagi dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia sudah menjadi kebiasaan orang Kuantan melihat ahli kerabat diraja Pahang menyertai orang ramai.

Mengulas lanjut, Norkamawati bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya menjaga disiplin diri ketika berada di padang terbabit.

"Kita juga meminta agar pengunjung membuat pencegahan kendiri," jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan MBK telah menyediakan 33 lokasi pasar Ramadan dan tujuh bazar Aidilfitri dengan kelulusan permit sebanyak 1,775.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!