Menu Rahmah set patin tempoyak

Khairul Izwandy menunjukkan set Patin Tempoyak Rahmah Kasih Sayang.
Khairul Izwandy menunjukkan set Patin Tempoyak Rahmah Kasih Sayang.
A
A
A

Menyahut seruan kerajaan bagi menyemarakkan kempen Menu Rahmah, restoran Temerloh Catering di Setia Alam, Selangor turut mengambil inisiatif memperkenalkan Patin Tempoyak Rahmah Kasih Sayang.

Pengarah Urusannya, Khairul Izwandy Abdul Jazam berkata, menu berharga RM5 itu berupa satu set lengkap ikan patin dan nasi serta air putih.

Menurutnya, walaupun Menu Rahmah ditawarkan pada harga murah, rasa dan kualiti makanan yang disediakan untuk pelanggan masih sama.

“Bezanya kami berikan ikan bersaiz kecil untuk Menu Rahmah, sesuai dengan harga RM5 yang dikenakan.

“Saya mengalu-alukan orang ramai untuk merasainya sendiri. Kami masih menjaga kualiti menu ini, tidak sekali-kali kami menurunkan gred ramuan yang digunakan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Kenyataan beliau itu sekali gus menyangkal dakwaan segelintir pihak yang beranggapan bahawa ikan patin gred rendah digunakan untuk Menu Rahmah Patin Tempoyak Rahmah Kasih Sayang.

Khairul Izwandy berkata, antara pengunjung yang pernah merasai Menu Rahmah di Temerloh Catering ialah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Set ikan patin tempoyak asli sangkar yang diberi nama Patin Tempoyak Rahmah Kasih Sayang.
Set ikan patin tempoyak asli sangkar yang diberi nama Patin Tempoyak Rahmah Kasih Sayang.

“Saya ada jemput beliau untuk datang menikmati hidangan menu ini dan antara komen beliau di Facebooknya selepas merasai menu ini adalah beliau berpuas hati, katanya ‘memang sedap, puas makan’.

“Jadi bagi mereka yang masih sangsi saya jemput untuk datang rasa sendiri. Bagi saya menu ini berbaloi cuma orang kena faham dengan harga RM5 mereka tak akan dapat saiz ikan besar, jadi saiz ikan patin sedikit kecil,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai sambutan terhadap menu berkenaan, Khairul Izwandy berkata, jualan set makanan tersebut laris setiap hari.

“Kita menyediakan 20 sehingga 30 set setiap hari di cawangan Temerloh Catering Setia Alam. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakan daripada masyarakat setempat,” katanya.

Jelasnya, perniagaan Temerloh Catering dimulakan oleh ibu bapanya 25 tahun lalu di Temerloh, Pahang dan akan perluaskan lagi perniagaan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!