2.4 juta telur tampung keperluan sepanjang Ramadan, Aidilfitri
MELAKA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka akan mengeluarkan 2.4 juta biji telur ayam bagi menampung keperluan bekalan mentah itu di seluruh Semenanjung sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Pengarahnya, Hairudin Yunos, berkata, bagi memastikan pelaksanaan itu berjalan lancar, pasukan khas dikenali Egg Action Team@Melaka (EAT@MELAKA) bersiap sedia untuk mengagihkan bekalan telur ke 14 Pusat Operasi FAMA di seluruh Semenanjung yang dijangka meningkat lima hingga 10 peratus.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak meminggirkan peniaga makanan di bazar Ramadan dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) agar mereka tidak mengalami masalah kekurangan bekalan telur apabila penggunaannya dijangka meningkat dalam tempoh dua bulan ini.
Menurutnya, menerusi program intervensi di antara golongan itu, mereka tidak perlu bimbang berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan mentah tersebut yang akan terus stabil sehingga selepas musim perayaan Aidilfitri.
"Menjelang Ramadan, jangkaan kita permintaan bekalan telur meningkat antara lima hingga 10 peratus.
"Setiap minggu pula kita sasarkan 15,000 hingga 20,000 papan telur (2.4 juta biji sebulan) kepada semua Pusat Operasi FAMA di seluruh Semenanjung.
"Kalau dulu ada peniaga martabak yang risau bekalan telur tak cukup, hari ini mereka tiada masalah bekalan dan harga telur," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Jualan Pra-Ramadan Melaka Madani 2023 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Bukit Katil pada Selasa.
Jelas beliau, situasi sama turut dialami usahawan kuih muih termasuk kuih tradisional seperti bahulu yang memerlukan bekalan telur banyak bagi menghasilkan produk mereka.
"Begitu juga usahawan kuih baulu jadi semua usahawan ini kita akan bekerjasama rapat dengan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Hairudin berkata, Melaka menyumbang lapan juta daripada keseluruhan 18 juta biji telur yang diagihkan kepada peruncit dan Pusat Operasi FAMA di Semenanjung sejak program intervensi telur bermula Disember tahun lalu.
"Dalam tempoh itu hingga sekarang, FAMA Melaka telah agihkan lapan juta telur ke seluruh Semenanjung termasuk menampung keperluan kira-kira 30 usahawan IKS seluruh negeri," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!