Banjir Johor: 41 masjid, 68 surau terjejas akibat banjir

Keadaan Masjid Jamek Sri Medan Batu Pahat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Keadaan Masjid Jamek Sri Medan Batu Pahat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengenal pasti 41 masjid dan 68 surau terjejas teruk akibat banjir dan mengalami kerosakan dianggarkan sebanyak RM1.9 juta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerosakan yang dialami itu memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih segera.

Menurutnya, JAINJ akan menyalurkan bantuan sekali beri sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih kerosakan yang dialami masjid dan surau terjejas akibat banjir membabitkan tujuh daerah.

"Daerah Batu Pahat merekodkan jumlah tertinggi masjid dan surau terjejas akibat banjir iaitu sebanyak 28 masjid dan 44 surau diikuti Segamat (6 masjid, 10 surau), Kluang (3 masjid, surau) Tangkak (1 masjid, 2 surau) dan Muar (1 masjid, 4 surau).

"Kerosakan paling besar membabitkan permaidani masjid dan surau yang tenggelami banjir. Permaidani rosak sepenuhnya dan perlu dilupuskan.

"Selain itu, terdapat juga kerosakan mimbar, alat siar raya dan perabot. Selain ada juga masjid dan surau mengalami kerosakan tandas dan kemudahan ruang solatnya akibat ditenggelami bah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, sebanyak 41 masjid dan surau di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 28 Februari lalu.

Katanya, kebanyakan PPS masjid dan surau itu sudang ditutup secara berperingkat berikutan keadaan banjir yang semakin pulih kecuali beberapa kawasan di Batu Pahat dan Muar.

"Secara pecahannya, masjid dan surau dijadikan PPS di negeri ini membabitkan Segamat (enam masjid, 10 surau), Tangkak (sebuah masjid, dua surau), Muar (sebuah masjid, empat surau) manakala Batu Pahat paling banyak iaitu 28 masjid dan 44 surau.

"Selain itu, Kluang (tiga masjid, tiga surau), Mersing (dua masjid) dan Kota Tinggi (dua masjid, dua surau)," katanya.

Beliau memberitahu dianggarkan sebanyak 100 tan al-Quran, kitab agama dan buku mengandungi petikan al-Quran turut musnah akibat bencana banjir baru-baru ini

"Di Batu Pahat sahaja terdapat 50 tan al-Quran, kitab agama dan buku mengandungi petikan al-Quran musnah dalam bencana banjir sejak akhir Februari lalu.

"Pejabat Kadi Daerah sudah diarahkan untuk mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran, kitab agama dan buku mengandungi petikan al-Quran yang rosak atau musnah agar proses pelupusan dapat dibuat mengikut syariat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!