Gantung pengadil: FAM adakan siasatan menyeluruh
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan siasatan menyeluruh terhadap pengadil, Zulkarnain Zakaria dalam masa terdekat.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Jawatankuasa Pengadil akan memanggil Zulkarnain untuk memberikan keterangan mengenai insiden yang berlaku ketika perlawanan Liga Super babitkan Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas Jumaat lalu.
"Apa yang penting kita dah gantung dahulu dan kita akan lihat selepas proses siasatan pertama ini.
"Jawatankuasa Pengadil sedang melihat lebih lanjut perkara ini dan akan memanggilnya untuk proses seterusnya," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ketujuh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Selasa.
Pada Ahad, FAM mengenakan hukuman penggantungan serta-merta terhadap Zulkarnain daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ia selepas Zulkarnain didapati terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti yang diberikan kepada Sabah.
Hamidin menegaskan penglibatan pengadil dalam industri bola sepak negara amat penting dan pihaknya perlu cuba berlaku adil untuk memahami setiap situasi yang dilalui pengadil.
"Kita pun mesti memahami daripada pelbagai sudut untuk memastikan mereka berada dalam prestasi terbaik.
"Tetapi, jika ada pengadil yang luar daripada batasan, kita akan sentiasa memerhati dan akan ambil tindakan sewajarnya.
"Bukan senang untuk menjadi pengadil. Mungkin hari ini mereka mengadili dengan bagus, tetapi esok mereka ada buat kesilapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!