UMNO Puchong buat bantahan isu bekalan elektrik terputus
PUCHONG - Ahli UMNO Bahagian Puchong membuat bantahan rasmi selepas proses pemilihan jawatan kuasa UMNO dibimbangi wujud unsur sabotaj selepas bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi.
Ketua Cawangan UMNO Kampung Sri Puchong, Azmi Ja’afar berkata, kejadian yang berlaku pada proses pemilihan undi Sabtu lalu itu menyebabkan timbul keraguan dalam kalangan ahli berhubung keputusan yang dibuat.
"Bekalan elektrik terputus dan suasana bergelap berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sekitar jam 1.37 tengah hari pada 18 Mac
"KIta telah buat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil pada 19 Mac, bagi memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian ini dapat dielakkan pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Azmi berkata, pihaknya juga akan memfailkan aduan rasmi dan akan menghantar surat kepada jawatankuasa pemilihan parti.
"Kami harap parti akan mengambil tindakan sewajarnya dan berharap pemilihan semula dengan langkah lebih telus," ujarnya.
Beliau turut mendakwa kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini dan ia adalah satu strategi untuk mereka menjalankan kerja yang tidak beretika.
Pemilihan UMNO Bahagian Puchong telah menyaksikan kemenangan majoriti Datuk Dr Mohamad Satim Diman dengan 152 undi, Azmir Yuzaimi Mohd Yunos (110) dan Kamsani Kamaruddin (62)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!