Dua ekor lembu sado 'ditumbang' sambut Ramadan

Ahmad Badrul Hisyam di samping seekor lembu sado baka Charolais digelar Mona yang akan disembelih untuk dijual pada Rabu.
Ahmad Badrul Hisyam di samping seekor lembu sado baka Charolais digelar Mona yang akan disembelih untuk dijual pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang penternak sedia menumbangkan dua ekor lembu sado baka Charolais yang dipeliharanya bagi memenuhi permintaan pelanggan sempena kedatangan bulan Ramadan yang dijangka disambut umat Islam pada Khamis.

Ahmad Badrul Hisyam Ghazali, 40, berkata, dua ekor lembu seberat kira-kira 1.6 tan itu akan disembelih awal pagi Rabu sebelum dilapah dan dijual bermula jam 7.30 pagi di dua gerai jualan iaitu di jalan Tok Jembal dan di Gong Badak 4, di sini.

"Biasanya lembu-lembu yang akan dijual akan disembelih awal pagi sekitar jam 2 atau 3 pagi pada hari jualan. Ia bagi memastikan kualiti daging yang dijual itu tidak terjejas dan masih dalam keadaan segar.

"Untuk sehari sebelum puasa ini kita peruntukan dua ekor lembu untuk disembelih yang mana setiap seekor dianggarkan seberat 800 kilogram (kg)," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Menurut Ahmad Badrul Hisyam, jualan bagi setiap satu kilogram daging serta bahagian lain pada haiwan itu bergantung kepada harga semasa.

"Setakat ini harga semasa ialah RM36 (daging), RM38 (daging batang pinang), RM15 (daging cincang), RM30 (tulang/paru), RM32 (tulang rusuk), RM36 (hati/jantung/limpa) dan RM15 (perut)," katanya.

Lembu baka Charolais digelar Aboy akan disembelih untuk dijual sehari sebelum Ramadan iaitu pada Rabu.
Lembu baka Charolais digelar Aboy akan disembelih untuk dijual sehari sebelum Ramadan iaitu pada Rabu.

Ahmad Badrul Hisyam yang telah memelihara lembu sejak 2019 kini mempunyai sebanyak 40 ekor lembu selain kambing dan biri-biri di ladang ternakan di Kampung Teluk Ketapang di sini.

"Antara haiwan ternakan saya buat masa ini terdiri daripada lembu sado baka Charolais dan Limousine. Terdapat juga kerbau dan lembu kampung,"ujarnya.

Gerai jualan daging yang diusahakan Ahmad Badrul Hisyam bersama rakannya, Md Rudy Abd Ghani, 42 dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan, manakala pada bulan lain hanya beroperasi pada hujung minggu.

"Sebenarnya gerai jualan di Jalan Tok Jembal baru dibuka tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan sebuah gerai jualan daging di kawasan itu memandangkan gerai daging sedia ada agak jauh.

"Kali ini saya jangka sebanyak 15 ekor lembu akan disembelih untuk dijual di dua buah gerai yang beroperasi setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!