FAM perjelas Pestabola Merdeka berlangsung singkat
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan alasan di sebalik penganjuran Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober depan berlangsung dalam tempoh yang singkat.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kejohanan tersebut terpaksa dibuat dalam skala kecil kerana kekangan tempoh waktu penganjuran dalam Kalendar FIFA.
"Kita tahu peminat mahu Pestabola Merdeka macam dulu berlangsung 10 hari hingga 15 hari. Kita buat dalam skala kecil kali ini kerana Kalendar FIFA sangat padat dengan pelbagai kejohanan besar ketika itu.
"Lagipun, kita perlu bermain dalam kalendar FIFA untuk tarik pasukan yang bagus. Jika tidak, kita akan berdepan halangan kerana penganjuran liga di setiap negara berdasarkan Kalendar FIFA.
"Kita juga mahu kejohanan ini diadakan dalam Kalendar FIFA untuk dapatkan mata ranking," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ketujuh Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Sebelum ini, FAM mengesahkan Palestin, Lubnan dan India akan menyertai kejohanan itu yang kali terakhir berlangsung pada 2013 lalu.
Menurut Hamidin, kejohanan kali ini akan mengunakan format seperti Piala Raja Thai yang berlangsung di Chiang Mai, September tahun lalu dengan setiap pasukan hanya akan bermain sebanyak dua perlawanan.
"Setiap pasukan akan terus bermain di separuh akhir. Dua pasukan yang menang akan ke final dan pasukan yang kalah akan bermain di penentuan ketiga dan keempat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!