Bazar Rahmah di enam daerah di Johor sepanjang Ramadan

Ting Han (depan, tengah) pada perasmian program Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023, pada Selasa.
Ting Han (depan, tengah) pada perasmian program Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup Negeri Johor, bercadang mengadakan ‘Bazar Rahmah’ dengan ‘jualan Rahmah’ di enam daerah, sepanjang Ramadan kali ini.

Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Hang, empat daripada enam daerah berkenaan telah dikenal pasti iaitu Johor Bahru, Muar, Segamat dan Batu Pahat manakala dua lagi daerah masih belum ditentukan.

“Bazar Rahmah ini berbeza sebab kerajaan negeri melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) akan anjurkan bazar sendiri dan KPDN melalui kerjasama dengan kerajaan negeri akan anjurkan Bazar Rahmah di mana 30 peratus pengusaha jualannya merupakan penjual ‘Menu Rahmah.’

“Kita juga akan berikan baucar RM20 untuk e-wallet kepada 12,000 pengunjung Bazar Rahmah untuk dibelanjakan; dan setakat ini kita tiada sasaran pengunjung kerana kita laksanakan secara first come, first serve.

“Kita juga menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri dan perkara ini kita akan umumkan kemudian,” katanya.

Ting Han berkata demikian pada sidang media setelah menyempurnakan perasmian program Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023, pada Selasa.

Untuk rekod, sehingga 19 Mac 2023, sebanyak 127 restoran /warung di Johor telah menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan Menu Rahmah di premis masing-masing.

Sementara itu dalam ucapannya, Ting Han berkata pihak KPDN telah memperkenalkan satu saluran baharu yang dinamakan ‘Aduan Suri.’

Katanya, saluran berkenaan merupakan saluran alternatif kepada pengguna bagi membuat aduan dengan lebih pantas.

“Melalui usaha ini, pihak kementerian telah mempermudahkan lagi orang ramai khususnya bagi suri rumah tangga untuk membuat aduan secara terus kepada pihak KPDN menerusi penggunaan Kod QR.

“Sebelum ini ada sembilan saluran lain bagi pengguna membuat aduan dan diharapkan agar saluran terbaharu ini (Aduan Suri), dapat membantu untuk memperkasa dan menegakkan hak-hak pengguna di negara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!