PPPKM Perak hantar bantuan ke Johor
MANJUNG - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumpul pelbagai keperluan lebih tiga tan untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Batu Pahat, Johor.
Yang Dipertuanya, Asmadi Teh berkata, antara barang-barang yang disumbangkan termasuklah kepeluan dapur, peralatan sekolah, pakaian, tilam, bantal dan sebagainya.
Jelas beliau, sumbangan yang diberikan itu hasil keprihatinan ahli-ahli persatuan, syarikat, NGO dan orang perseorangan sebagai meringankan beban dihadapi mangsa bencana tersebut.
"Misi Bantuan Banjir ini dicetuskan PPPKM Perak dengan kerjasama Aura Manjung, As-Suffiyah serta Gabungan NGO-NGO Perak kerana simpati terhadap nasib mangsa banjir di Johor.
"Kita juga turut menghantar seramai 35 sukarelawan bagi membantu membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita sempena pelepasan Misi Bantuan Banjir ke Johor di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung pada Isnin.
Hadir sama pada program tersebut, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris; Pengerusi Aura Manjung, Datuk Ireland Abdul Rahman dan pengarah misi, Abdul Rasid Osman.
Asmadi berkata, kesemua barangan yang dihantar menggunakan lori ke Batu Pahat, Johor itu bernilai kira-kira RM12,000.
Katanya, dengan pemberian sumbangan tersebut, mangsa bencana dapat menarik nafas lega setelah mengalami kerugian disebabkan kerosakan harta benda akibat banjir.
Beliau berkata, misi tersebut bukanlah kali pertama sebaliknya kali keempat selepas dilaksanakan di Selangor dan Pahang sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!