MOTAC nafi animasi Doraemon pilihan promosi TMM 2020

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi
A
A
A

PUTRAJAYA - Pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon bukanlah antara bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau tidak pernah meluluskan sebarang gerak promosi yang melibatkan watak kartun animasi Jepun itu dan ia sama sekali tidak termasuk dalam promosi kementerian tersebut.

“Kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah sebelum ini adalah bersifat peribadi dan bukan yang dipersetujui oleh MOTAC bagi tujuan promosi TMM 2020.

“Ia adalah kenyataan pengerusi Balai Seni Negara itu ketika menghadiri majlis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada bulan Mac lepas.

“Jika perkara itu diangkat kepada saya, saya tidak akan luluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Mohamaddin bagi mengelakkan kekeliruan umum berkenaan promosi negara menjelang TMM 2020 yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Dalam pada itu Mohamaddin berkata, jika perkara mempromosi watak kartun animasi Jepun itu benar-benar berlaku, sudah pasti ia dijelaskan beliau ketika sesi sidang media prestasi kementerian Isnin lalu.

“Perkara tersebut sama sekali tidak berlaku. Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan apa yang diviralkan di laman media sosial itu dan saya berharap kenyataan ini dapat memberi gambaran jelas kepada umum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jika benar beliau mahu mengangkat watak animasi, sudah semestinya beliau akan memilih watak kartun yang popular di Malaysia dan bukannya dari negara lain.

“Saya berharap perkara tular ini tidak lagi diteruskan kerana ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!