KPDN Johor: Ayam terkesan banjir dilupuskan dengan cara betul
JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor dengan kerjasama pihak Jabatan Verterinar Negeri Johor telah mengadakan lawatan dan siasatan bagi memastikan golongan penternak ayam di negeri ini melupuskan haiwan ternakan yang terkesan akibat banjir dengan cara yang betul.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Hang berkata, perkara (lawatan dan siasatan) itu dilakukan susulan penularan isu berhubung ayam berkenaan (terkesan akibat banjir) dijual di pasaran ketika ini.
“Lawatan dan siasatan ini dibuat berkaitan isu kononnya penjual menjual ayam yang terkesan akibat banjir di pasaran baru-baru ini.
“Bagaimanapun, setakat ini masih tiada aduan yang diterima mengenai perkara ini dan pada masa sama kita juga tidak menerima aduan berhubung masalah kekurangan bekalan barangan di pasaran ketika ini.
“Apa pun, pihak veterinar dan KPDN sendiri mengambil tindakan agar ayam yang terkesan akibat banjir dapat dilupuskan dengan cara yang betul dan bukannya dijual di pasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian program Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023 pada Selasa.
Mengulas mengenai penganjuran program berkenaan, Ting Hang berharap ia dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap hak-hak mereka sebagai pengguna.
Katanya, kerajaan juga mahu memastikan agar orang ramai tahu apa hak yang mereka miliki selain cara-cara membuat aduan yang betul kepada pihak KPDN.
“Setiap tahun pada 15 Mac, kita akan sambut Hari Hak Pengguna Sedunia dan kali ini kita berkumpul dengan bermacam-macam aktiviti seperti ceramah, persembahan dan lain-lain," ujarnya..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!