Tarikh kuat kuasa duti eksais, cukai baharu ditangguh
PUTRAJAYA - Kerajaan menangguhkan tarikh kuat kuasa kenaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra campuran yang mengandungi gula melebihi had 33.3 gram bagi setiap 100 gram.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, turut ditangguhkan adalah cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Menurut kementerian itu, penangguhan itu mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Hal ini juga dapat memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi," kata kementerian itu pada Selasa.
Selain itu, ujar MOF, kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya.
Duti eksais ke atas ketiga-tiga inisiatif tersebut diumumkan kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021 dan ia disyorkan bermula tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!