MBSB Bank lancar aplikasi M Trade permudah pembiayaan kewangan
MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) secara rasmi melancarkan aplikasi mudah alih M Trade pada Selasa bagi memudahkan urusan pembiayaan kewangan kepada para pelanggannya di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bank tersebut, Datuk Nor Azam M Taib berkata, menerusi aplikasi tersebut, pengguna dapat menjalankan segala urusan transaksi dengan hanya menggunakan telefon bimbit.
Ujar beliau, ia juga dilengkapi ciri keselamatan meyakinkan iaitu sistem biometrik cap jari dan pengecaman wajah sebelum dapat diakses
“Aplikasi ini turut memudahkan dokumentasi perniagaan pelanggan daripada kalangan perusahaan eksport dan import. Mereka hanya perlu imbas dokumen bagi urusan penghantaran, ia dapat diselesaikan dengan segera.
“Kalau sebelum ini, cara yang digunakan agak tradisional, mereka perlu pos surat itu ke cawangan kami yang berdekatan. Tetapi kini tidak lagi,” katanya kepada media semasa Majlis Pelancaran Aplikasi M Trade di Petaling Jaya pada Selasa.
Beliau menambah, sekiranya terdapat perusahaan yang belum bersedia, kaedah lama masih diguna pakai.
“Mereka boleh tempah urusan penghantaran itu menerusi aplikasi ini juga dan pihak bank akan menghantar staf untuk menguruskannya, jadi tiada masalah di situ,” jelasnya.
Kata Nor Azam, inovasi yang dikembangkan oleh MBSB Bank itu secara tidak langsung menjadi satu faktor utama pengembangan perniagaan mereka dan juga para pelanggan.
Beliau dalam perkembangan lain masih meneliti sasaran keuntungan yang ingin dicapai menerusi kemunculan aplikasi berkenaan.
“Sebelum ini sasarannya sekitar RM16 bilion namun tetapi terkini kita sudahpun mencapai RM23 bilion keuntungan melaluinya, jadi kita tengok balik perkara ini untuk buat perangkaan baharu,” ujarnya.
Pengguna yang berminat boleh memuat turun aplikasi tersebut menerusi Apple App Store dan Google Play.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!