Bekalan telur dijangka meningkat dua kali ganda di Perak
TAPAH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak telah membekalkan 290,000 biji telur tambahan di negeri ini sejak Disember lepas susulan krisis kekurangan bekalan itu di pasaran negara.
Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, bekalan sekitar 72,000 biji sebulan itu disediakan menerusi pengaturan pasaran bersama pengeluar tempatan dan negeri lain bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Buat masa sekarang bekalan telur di Perak mencukupi kerana untuk menampung keperluan itu, kita juga ada mengambil bekalan dari negeri-negeri lain contohnya dari Melaka.
"Sejak Disember hingga Mac ini sahaja, sudah 290,000 biji telur telah diedarkan," katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Tapah di sini pada Selasa.
Hadir merasmikan program berkenaan, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Noorsham berkata, permintaan bagi bekalan telur sepanjang bulan Ramadan dan Syawal dijangka meningkat dua kali ganda mencecah 145,000 biji berbanding 72,000 biji.
"Saya dimaklumkan bekalan sepanjang musim perayaan ini mencukupi. Kalau ada keperluan kita akan gerakkan logistik dapatkan dari negeri lain untuk pastikan bekalan mencukupi untuk Perak," katanya.
Sementara itu, di Perak terdapat 12 lokasi terlibat dalam Jualan Ramadan Madani yang menyediakan pengurangan harga antara lima hingga 10 peratus bagi komoditi terpilih dan Happy Hour.
Selain Tapah, pasar tani terlibat ialah di Agrobazaar Semanggol, Agrobazaar Trong, Agrobazaar Taman Jana, Pasar Tani Kekal Lekir dan Pasar Tani Tanjung Malim.
Selain itu, Agrobazaar Mat Frozen, Pasar Tani Gerik, Pasar Tani Seri Iskandar, Pasar Tani Kuala Kangsar, Pasar Tani Kampung Simee dan Pasar Tani Medan Gopeng.
Mohd Zolkafly berkata, nilai jualan mencecah RM1 juta disasarkan daripada keseluruhan program berkenaan sepanjang Ramadan ini.
"Kita juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk membantu masyarakat mendapatkan telur, ayam, sayur dan buah-buahan dengan harga penjimatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!