Wanita terperangkap, rumah dihempap pokok tumbang
PETALING JAYA - Seorang wanita berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam rumahnya yang dihempap empat batang pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir di Taman Desa Riang, Damansara Damai di sini pada malam Isnin.
Suami mangsa, Rezal Ibrahim, 49, berkata, isterinya tidak dapat keluar selepas bahagian depan dan belakang rumah rosak dan terhalang oleh pokok berkenaan.
Rezal yang ketika itu berada di luar memberitahu terpaksa berjalan kaki sejauh 700 meter untuk pulang ke rumah selepas jalan utama turut terhalang susulan kejadian sama.
"Saya selaku pengerusi surau ketika itu sedang bermesyuarat bagi persiapan Ramadan.
"Sebaik dihubungi isteri, saya terus pulang ke rumah, namun lebih kurang lima batang pokok tumbang di jalan utama Jalan Sutera ke Desariang 10/5 menyebabkan kenderaan tidak boleh dilalui.
"Saya ambil keputusan untuk jalan kaki pulang ke rumah bagi melihat keadaan isteri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Rezal memberitahu mengalami kerugian lebih RM5,000 susulan kejadian tersebut, namun bersyukur isterinya terselamat.
Ujarnya, kejadian berlaku sekitar jam 9.45 malam, namun agensi penyelamat lewat tiba disebabkan banyak lokasi terjejas susulan kejadian tersebut.
"Sementara menunggu pasukan penyelemat tiba, kami penduduk melakukan kerja pembersihan bermula jam 10.30 malam hingga lewat pagi.
"Kerja pembersihan masih lagi dijalankan ketika ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Norzela Yaakub, 60, berkata, walaupun ribut petir dan hujan lebat berlaku kurang 30 minit, namun situasi tersebut sudah cukup mencemaskannya yang ketika kejadian berada di rumah bersama suami.
"Bunyi bising dan berlaku litar pintas sampai saya tidak sedar bahagian tempat letak kereta rumah telah dihempap pokok.
"Ada penduduk beritahu ternampak puting beliung yang menyebabkan banyak pokok tumbang, namun saya tidak pasti kerana berada dalam rumah," katanya.
Norzela mengakui trauma dengan kejadian pertama kali berlaku di kawasan perumahan itu, namun bersyukur tiada penduduk terlibat dalam kejadian tersebut.
Dalam masa sama, Norzela turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat pemantauan dan melakukan penebangan pokok berisiko dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Pada Isnin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat memberitahu, tujuh rumah dan enam kenderaan rosak akibat dihempap 15 pokok tumbang di Taman Desa Riang, Damansara Damai.
Seramai 29 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!