Adamas laksana ujian pintar menjelang Sukan SEA, Sukan Asia
AGENSI Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan meneruskan usaha membendung penggunaan bahan terlarang dalam kalangan sesetengah atlet, dengan melakukan ujian pintar menjelang dua temasya utama tahun ini, iaitu Sukan SEA dan Sukan Asia.
Pengarah Adamas, Azura Abidin berkata, mekanisme ujian pintar itu, akan memberikan tumpuan kepada sukan yang berisiko tinggi dalam penggunaan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi.
“Ujian pintar ini merangkumi ujian urin dan darah, Athlete Biological Passport dan profil steroid. Kepada atlet-atlet yang akan terlibat di Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou, pengujian di luar pertandingan akan diadakan berdasarkan kepada mekanisme tersebut.
“Adamas telah menyediakan penjangkaan risiko dan membangunkan pelan agihan ujian bagi pelaksanaan program pengujian kawalan doping sepanjang tahun," katanya.
Sukan SEA bakal berlangsung di Phnom Penh bermula 5 hingga 17 Mei ini, manakala Sukan Asia dijadualkan bermula 23 September hingga 8 Oktober ini di Hangzhou, China selepas ditangguhkan setahun kerana pandemik Covid-19.
Antara sukan yang mempunyai rekod penyalahgunaan bahan terlarang di Malaysia sejak 2016 ialah angkat berat yang dianggap kritikal, selain bina badan, olahraga, memanah, wushu, terjun, renang, badminton, bola sepak, judo, tinju, muay thai, hoki serta para powerlifting.
Sementara itu, Azura memberikan peringatan kepada semua atlet dan kakitangan sokongan untuk mengetahui peraturan dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia.
“Principle of Strict Liability terpakai kepada semua atlet, bermakna mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan darah mereka yang di kumpul semasa pengujian, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.
“Para atlet juga harus memahami senarai larangan dan risiko penggunaan suplemen atau makanan tambahan,” katanya.
Sekiranya atlet perlu menggunakan bahan terlarang bagi tujuan perubatan, mereka perlu mengemukakan permohonan pengecualian penggunaan terapeutik kepada Adamas, namun ia tidak dibenarkan untuk tujuan meningkatkan prestasi.
Beliau berkata, pihaknya juga akan terus melaksanakan program pendidikan antidoping, termasuk seminar, program outreach, siri webinar dan penyebarluasan maklumat pendidikan melalui platfom digital menerusi Pelan Pendidikan Anti-Doping Adamas 2023, kepada atlet dan pegawai sukan.
“Kita menyeru semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk bekerjasama erat dengan Adamas, bagi memastikan atlet menerima pendidikan antidoping untuk mengelakkan berlakunya pelanggaran peraturan anti-doping di masa depan. Ini juga akan dapat membantu obligasi NSA kepada persekutuan sukan antarabangsa masing-masing,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!