Kementerian Kewangan tangguh laksana tiga duti eksais, cukai
KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan pada Selasa mengumumkan penangguhan tarikh kuat kuasa tiga duti eksais dan cukai yang diumumkan di bawah Bajet 2022 kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, penangguhan tersebut melibatkan duti eksais ke atas produk penyediaan pracampuran yang mengandungi gula melebihi had 33.3 gram/100 gram, cukai perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan barang bernilai rendah (LVG).
"Ketiga-tiga inisiatif ini telah disyorkan untuk bermula pada tahun 2023, namun, mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terdapat keperluan untuk menetapkan semula tarikh kuat kuasa pengenaan ketiga-tiga duti dan cukai tersebut.
"Hal ini juga dapat memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan yang berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya.
Menerusi Bajet 2022, kerajaan mengumumkan cadangan duti eksais ke atas produk penyediaan pracampuran untuk membendung peningkatan penyakit diabetes, obesiti dan penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan yang tidak seimbang.
Berhubung pengenaan cukai perkhidmatan meliputi perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh syarikat bukan kurier bertujuan untuk memberikan layanan sama rata di antara semua penyedia perkhidmatan penghantaran barang.
Buat masa ini hanya perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat kurier sahaja dikenakan cukai perkhidmatan.
Manakala cukai jualan LVG bagi barang bernilai RM500 ke bawah yang dijual secara dalam talian oleh peniaga luar negara dan diimport ke Malaysia bertujuan bagi memberikan layanan yang sama rata kepada barangan tempatan dan barangan import. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!