KOM sedia kaji semula sasaran pingat
KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sedia menilai semula sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berlangsung pada Mei depan.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sasaran itu dibuat selepas beliau mengambil alih jawatan tersebut pada Jun tahun lalu.
Katanya, sasaran tersebut dibuat berdasarkan kepada situasi dan pencapaian atlet pada ketika itu.
“Masa itu saya baru ambil alih jawatan presiden. Saya letak sasaran 10 emas untuk skuad olahraga di Sukan SEA.
“Masa itu kita ada Azeem (Fahmi) yang berpeluang dapat dua emas. Kita juga ada dua atau tiga atlet lagi yang boleh dapat emas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali pada Isnin mengingatkan persatuan sukan kebangsaan untuk meletakkan sasaran yang realistik bukan 'syok sendiri'.
Shahidan juga bersedia untuk mendedahkan jumlah sasaran baharu, namun menyerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling untuk mengumumkannya.
Katanya, atlet olahraga ketika ini menyertai beberapa kejohanan di luar negara dan rekod mereka diambil kira untuk membuat sasaran baharu.
“Sudah ada sasaran baharu (emas Sukan SEA), namun saya tak mahu sebut. Mark akan umum nanti,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa sasaran pingat sepatutnya diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kerana pemilihan jurulatih dan atlet di bawah seliaan mereka, manakala KOM bertindak sebagai penyelaras.
Katanya, KOM bukan persatuan yang besar, selain tidak memiliki dana yang banyak berbanding kesatuan sukan lain seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mempunyai banyak penaja.
Bagaimanapun katanya, KOM dalam proses ke arah itu, namun mengakui ia memerlukan masa dan melalui proses tertentu.
“Kena ingat MSN yang patut umum (sasaran pingat). Jurulatih MSN lantik dan bayar gaji. Atlet mereka pilih,” katanya.
Pada Sukan SEA Hanoi lalu, skuad olahraga negara menepati sasaran memenangi lima emas selain meraih tiga perak dan lapan gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!