Maszlee Malik kembali bergelar pensyarah
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik kembali ke dunia akademik sebagai pensyarah di sebuah kolej universiti swasta di Cyberjaya.
Mengumumkan perkara itu di akaun media sosialnya, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, skop tugasnya itu ialah memberikan kuliah berkaitan sains sosial dan pendidikan.
“Kembali mengajar. Terima kasih University of Cyberjaya di atas kepercayaan yang telah diberikan,” ujarnya dalam hantaran yang dimuat naik pada Selasa.
Sebelum menyertai gelanggang politik pada 2018 menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Maszlee merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pada PRU14, Maszlee memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dilantik oleh Pakatan Harapan sebagai Menteri Pendidikan.
Namun, beliau hanya memegang jawatan berkenaan selama 20 bulan sahaja sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!