Dua beranak maut motor dinaiki dirempuh kereta
TUMPAT - Dua beranak maut apabila motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Wakaf Bharu - Tumpat (Bendang Morak), malam tadi.
Dalam kemalangan jam 10.15 malam itu, mangsa yang berasal dari Kampung Kok Pasir, Che Khalid Che Kub, 48, baru saja mengambil anaknya, Che Fahim Danial Naufal,12, pulang dari tuisyen.
Che Khalid menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Tumpat menghala ke Wakaf Bharu kerana mahu singgah di kedai makan di Jalan Bendang Morak sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa memberi isyarat ke kanan dan memperlahankan motosikalnya.
"Kereta terbabit berada di belakang mangsa cuba brek tetapi disebabkan jarak yang dekat, pemandu terlanggar bahagian belakang motosikal itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ab Rashid berkata, akibat kemalangan itu, mangsa bersama anaknya tercampak ke atas jalan.
Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) namun Che Khalid disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 malam.
Bagaimana pun katanya, Che Fahim, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 1 yang bertarung nyawa di HRPZ II menghembuskan nafasnya pada jam 11.30 pagi.
"Mangsa mengalami kecederaan dalaman dan banyak kehilangan darah manakala anaknya cedera parah di kepala dan patah kedua kaki," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!