Zahid memang kuat, tapi jangan pandang rendah pengaruh 'Bossku' - KJ
KUALA LUMPUR - Cerita ‘Bossku’ iaitu merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam gelanggang politik masih belum berakhir, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ).
Menurut bekas menteri dan Ketua Pemuda UMNO itu, pengaruh Najib yang juga pernah memimpin parti politik Melayu itu sebetulnya masih kuat dan berupaya menentukan masa depan UMNO.
Beliau berkata, perkara ini diterjemahkan dalam pemilihan UMNO yang berlangsung baru-baru ini apabila ramai muka baharu yang menganggotai Majlis Tertinggi (MT) parti terdiri daripada penyokong tegar Najib.
Dalam masa sama, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, sekalipun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO, namun umum jangan sesekali memandang remeh kekuatan dan pengaruh Najib.
"Datuk Ahmad Zahid memang kuat, tetapi kalau kita tengok dengan teliti dan kepada sebagai contoh barisan baharu dalam MT saya nampak ramai mereka sebenarnya adalah penyokong tegar Bossku, Datuk Seri Najib.
"Jangan pandang ringan suara daripada belakang, suara di sebalik penjara... suara yang ada dalam penjarang sekarang ini dan pengaruh suara itu menentukan masa depan UMNO. Saya rasa cerita ‘Bossku’ ini belum habis lagi," kata Khairy lagi.
Khairy berkata demikian dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan beliau bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Sedutan rakaman podcast itu dikongsi beliau di akaun Twitter peribadinya.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, cerita mengenai 'Bossku' belum tamat. Bahkan, orang ramai juga masih mempunyai keinginan untuk mengetahui perancangan Bossku.
"Saya nak sebut dalam podcast 'Keluar Sekejap' mengenai pandangan saya dan pendengar pun tahu pandangan saya selepas kekalahan 2018 (PRU14) berkenaan Bossku, tetapi saya katakan, Bossku masih menjadi kekuatan yang perlu diambil kira," ujar beliau yang dikenali sangat kritikal terhadap Najib khususnya selepas kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!