'Saya yakin berada di pihak yang benar dan tidak gentar' - Puteri Sarah
"SAYA berasa pelik kenapa tuntutan ini hanya dibuat pada waktu sekarang, sedangkan masalah rumah tangga ini telah berlaku hampir empat tahun yang lalu.”
Demikian kata pelakon Puteri Sarah yang mempersoalkan tindakan suaminya, Syamsul Yusof memfailkan permohonan nusyuz terhadap dirinya pada Selasa.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, berkata, masalah rumah tangga dia dan Syamsul berlaku hampir empat tahun lalu, sedangkan tuntutan tersebut baru dibuat sekarang.
“Pihak saya tertanya-tanya apakah tujuan dan motif tuntutan (nusyuz) ini dibuat.
“Saya yakin berada di pihak yang benar dan tidak gentar untuk menghadapi tuduhan dan tuntutan yang terbaharu ini,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada media.
Mohon doa
Dalam pada itu, bintang drama Andai Itu Takdirnya juga pelik dengan tuntutan terbabit seolah-olah dirinya yang mencetuskan kemelut rumah tangga mereka, sedangkan perkara yang berlaku adalah sebaliknya.
“Saya berdoa dan berharap Insya-ALLAH segala kebenaran akan ditunjukkan dan mohon didoakan segala urusan saya dipermudahkan. Doakan saya dan anak-anak untuk sentiasa kuat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, ibu kepada dua anak itu juga memaklumkan, Syamsul dan isteri keduanya sedang dalam siasatan di bawah satu akta kesalahan jenayah syariah.
“Suka untuk saya ingatkan bahawa pihak di sebelah sana masih dalam siasatan di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
“Dalam pengetahuan saya, mereka sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan sedang menunggu tindakan lanjut daripada pihak mahkamah,” kata Puteri Sarah.
Terdahulu pada pagi Selasa, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri pertamanya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Menurut pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, antara alasan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Puteri Sarah kerana wanita berusia 38 tahun itu masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.
Tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz Syamsul terhadap Puteri Sarah akan disambung semula pada 6 April depan. - Sinarplus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!