Rafizi fokus inovasi ekonomi digital
PUTRAJAYA - Selepas 100 hari mengemudi Kementerian Ekonomi, Rafizi Ramli kini memberi tumpuan terhadap usaha mengarusperdanakan inovasi di kalangan rakyat dalam ekonomi digital.
Menteri Ekonomi itu berkata, program dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu sedang di peringkat persediaan dan akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.
"Setakat ini kalau kita sebut inovasi, orang ingat fasal robot atau roket tetapi sebenarnya ia melibatkan perkara seharian," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga kementerian dekat sini pada Rabu.
Menurutnya, pasukan terlibat telah memulakan kerja bagi tujuan itu sejak dua bulan yang lalu.
"Kita memang ada kerangka yang baik tetapi ada juga satu cabaran yang perlu ditangani dengan baik iaitu tahap inovasi dalam ekonomi," katanya.
Ini kerana ujar Rafizi, ekonomi digital memerlukan tahap inovasi yang tinggi.
"Jadi sebab itu kita kena sebar luaskan lagi supaya atau kumpulan, baik pekerja, perniagaan, orang ramai yang mempunyai pandangan dan daya inovasi tinggi supaya mereka boleh ambil peluang yang disediakan daripada program kerajaan," katanya.
Ditanya mengenai apakah inovasi tersebut, Rafizi enggan mengulas lanjut.
"Tunggu pengumuman... Saya rasa ia akan disambut baik rakyat," katanya.
Sementara itu, di dalam ucapannya di hadapan warga kementerian, Rafizi menyeru agar semua terus berlari dengan laju.
"Saya faham akan ada perubahan besar dari segi budaya kerja sebab sewaktu diberi mandat dan lebih ruang, kita diberi harapan besar oleh pemegang taruh iaitu swasta dan orang ramai," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan akan datang, kementerian turut memberi fokus terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.
"Kementerian akan mempercepatkan proses ini dan membawa keseluruhan naratif nasional.
Sama seperti kita mulakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya naratif nasional itu tertumpu kpd perkara-perkara penting kepada struktur ekonomi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!