Anugerah Tokoh Siswa 2022 KPT iktiraf pencapaian mahasiswa

A
A
A

Penerima-penerima Anugerah Tokoh Siswa 2022 bergambar dengan Mohamed Khaled dan tetamu kehormat lain selepas sesi penganugerahan di Dewan Za’ba KPT, pada Isnin.
Penerima-penerima Anugerah Tokoh Siswa 2022 bergambar dengan Mohamed Khaled dan tetamu kehormat lain selepas sesi penganugerahan di Dewan Za’ba KPT, pada Isnin.

SHAH ALAM - Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung pada Isnin, menyaksikan sebanyak 20 anugerah dipertandingkan merangkumi kategori kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan kebudayaan termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Dewan Za’ba KPT.

Majlis penganugerahan kali ke-8 itu merekodkan sebanyak 916 penyertaan sekali gus menunjukkan peningkatan penyertaan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Anugerah Tokoh Siswa merupakan anugerah berprestij bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mahasiswa sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Ia selaras dengan hasrat Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPMP(PT)) 2015-2025 untuk melahirkan graduan yang kompeten dan holistik.

Mohamed Khaled (lima dari kiri) menyerahkan trofi, sijil penghargaan dan wang berjumlah RM3,000 kepada penerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022, Mifzal Salihin dari Universiti Malaya.
Mohamed Khaled (lima dari kiri) menyerahkan trofi, sijil penghargaan dan wang berjumlah RM3,000 kepada penerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022, Mifzal Salihin dari Universiti Malaya.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, majlis penganugerahan itu diadakan khusus bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, sahsiah dan kokurikulum.

“Kita mahu mengiktiraf secara terus dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah mempamerkan kecemerlangan kepimpinan melalui penglibatan secara langsung dalam pembangunan sahsiah sekali gus menyumbang kepada penyerlahan potensi diri.

“Inilah masa untuk kita mengangkat dan meneladani bakat serta pencapaian bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam disiplin kesukanan, kebudayaan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Mohamed Khaled mahu mahasiswa mendapat pendidikan terbaik daripada tenaga pengajar berkualiti.
Mohamed Khaled mahu mahasiswa mendapat pendidikan terbaik daripada tenaga pengajar berkualiti.

Jelasnya, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti dan juga program pembangunan insaniah ke arah pencapaian anugerah ini juga berupaya membentuk etika dan rohani, menerapkan nilai kasih-sayang, hormat-menghormati serta meningkatkan tahap integrasi dan perpaduan nasional dalam kalangan mahasiswa.

Justeru itu katanya, pemberian anugerah ini diharap dapat mengiktiraf serta menonjolkan tokoh-tokoh mahasiswa yang berperibadi mulia, mempunyai kompetensi diri yang tinggi serta menjadi ejen penyumbang kepada masyarakat, negara dan dunia.

“Menjadi mandat dan tugas kami di pihak kementerian untuk memastikan mahasiswa mendapat pendidikan terbaik daripada tenaga pengajar yang paling berkualiti.

“Kementerian juga berperanan memberikan segala ruang dan peluang untuk mahasiswa mendapat pengalaman hidup yang diperlukan dalam meniti kedewasaan.

Mohamed Khaled (tengah) bersama tetamu kehormat pada majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022.
Mohamed Khaled (tengah) bersama tetamu kehormat pada majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022.

“Ini mandat dan tugas saya bersama kementerian akan pikul dengan penuh iltizam untuk memastikan tiga hingga empat tahun kehidupan kalian di bawah seliaan KPT, menjadi tahun-tahun yang bermakna dalam hidup.

“Kami pegang (komitmen) tanpa bersikap apologetik dan berdolak-dalik. Namun apa yang penting, kalian (para mahasiswa) harus memainkan peranan,” kata Mohamed Khaled.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!