'Ops Lalang bukan arahan saya' - Dr Mahathir

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan arahan melaksanakan Operasi Lalang atau Ops Lalang dikeluarkan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu itu, sebaliknya menegaskan, keputusan berkaitan Ops Lalang telah dijelaskan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar bahawa ia merupakan keputusan yang dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Perdana Menteri perlu dengar pandangan polis kerana mereka bertanggungjawab atas keselamatan negara dan pandangan serta nasihat mereka tidak boleh ditolak begitu saja.

"Parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) selalu menyalahkan saya disebabkan Ops Lalang.

"Namun, apabila sesuatu menguntungkan objektif mereka, mereka dengan bangga terima saya sebagai rakan dan pilih saya sebagai calon Perdana Menteri mereka," kata bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu dalam hantaran terbaharu di akaun media sosialnya pada Rabu.

Pada Isnin, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto membidas Dr Mahathir yang melabel Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai diktator.

Kasthuri sebaliknya berkata, Dr Mahathir merupakan individu yang tidak boleh melabel Anwar sebagai diktator disebabkan Ops Lalang yang dilaksanakan semasa pentadbirannya pada 1987.

Dilancarkan pada 27 Oktober 1987, Ops Lalang menyaksikan 119 aktivis masyarakat sivil, intelektual dan ahli politik pembangkang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.

Antara yang ditahan ialah bapa Kasthuri, P Patto yang juga pemimpin DAP sekitar tahun 1970-an dan 80-an dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Menglembu di Ipoh selain menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan sebelum meninggal dunia pada 1995.

Selain Kasthuri, beberapa pemimpin lain seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyindir Dr Mahathir yang menuduh kerajaan pimpinan Anwar sebagai diktator kerana menghalang kebebasan bersuara dan mengambil tindakan untuk menyekat parti pembangkang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!