Rafizi sangkal dakwaan ekonomi negara lebih teruk tahun ini
KUALA LUMPUR - Keadaan ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan tahun ini diyakini kekal kukuh dan stabil meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuklah ketidakstabilan ekonomi global.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada data yang ditunjukkan bahawa semua sektor ekonomi negara telah pulih kecuali pertanian.
“Berdasarkan unjuran dan data prestasi ekonomi (Malaysia) sekarang, kita Insya-ALLAH tidak akan menjadi lebih teruk daripada zaman (Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi Perdana Menteri.
“Jadi, kalau Pagoh kata mengatakan bahawa kedaaan pada tahun ini akan menjadi lebih teruk daripada sebelum ini, data-data ekonomi yang ada itu tidak menyokong apa yan disebut Pagoh,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN - Pagoh) yang memintanya menyatakan langkah lain diambil kerajaan untuk pemulihan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) susulan tiada pakej rangsangan ekonomi akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh ekonomi mencabar tahun ini.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, asas utama kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi atau bantuan seumpamanya adalah disebabkan tidak mahu negara terus dibebani hutang.
“Walaupun Pagoh mengatakan kerajaan boleh memperuntukkan RM200 hingga RM300 bilion (untuk pakej rangsangan ekonomi) tetapi (Pagoh) tidak sedar bahawa kami terpaksa mewarisi satu beban hutang yang besar.
“Sebab itulah dalam suasana ekonomi yang sudah pun melepasi endemik dan juga bagi memastikan kita menangani cabaran antarabangsa, cara terbaik adalah mengimbangi antara suntikan dan bantuan dengan mengukuhkan keadaan fiskal negara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan hari ini juga mewarisi beban hutang yang tinggi susulan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu membuat suntikan fiskal dalam suasana kadar faedah antarabangsa yang lebih tinggi.
“Seperti mana kami warisi (ketika ini) bayaran sehingga RM40 bilion lebih setiap tahun adalah mata-mata untuk membayar hutang yang telah pun diambil sebahagiannya semasa Pagoh menjadi Perdana Menteri.
“Jadi, sebab itu ada cara lain yang kita boleh menjaga kebajikan kumpulan rentan atau PMKS seperti yang telah saya sebut tadi tanpa kita mengambil tindakan berhutang dan menambah hutang seperti diamalkan PN sebelum ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!