Nelayan dikhuatiri hilang di laut
KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman mengaktifkan Operasi Carilamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri hilang di laut sekitar 3 batu nautika dari Pulau Tenggol, Dungun.
Mangsa, Ismail Awang, 72, disedari hilang oleh awak-awak yang lain sekitar jam 9.30 malam, Selasa ketika bot dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Dungun.
Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi bin Abd Rashid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar pukul 3.00 pagi Rabu sebelum mengaktifkan SAR setengah jam kemudian.
"Tekong telah berusaha mencari sejurus mangsa disedari hilang namun keadaan cuaca gelap dan laut yang bergelora telah menyukarkan pencarian mangsa.
"Selepas SAR diaktifkan, kita telah mengaturgerak Bot Perkasa 49 ke tempat kejadian bagi membuat pencarian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut Rashidilhadi, Unit udara APMM Subang dijangka turut membantu operasi mencari mangsa melalui udara menggunakan helikopter AS 365N3 pada petang nanti melibatkan radius sekitar 343 batu persegi.
"Selain itu, kita juga mendapatkan dua aset bantuan dari perikanan bagi membantu SAR," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!