1MDB: Roger Ng mohon jalani hukuman di 'penjara selebriti' di Danbury
KUALA LUMPUR - Roger Ng, satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. yang diadili dan dihukum dalam skandal global 1Malaysia Development Bhd (1MDB), memohon kepada hakim untuk membenarkan dia menjalani hukuman penjara 10 tahun di Danbury, Connecticut di mana pengasas hotel Leona Helmsley dipenjara atas kes penipuan cukai pada awal tahun 1990an.
Memetik laporan Bloomberg, Peguam Ng, Marc Agnifilo meminta Hakim Daerah AS, Margo Brodie melalui surat agar beliau mencadangkan supaya 'tahap hukuman terendah mungkin' diilaksana di penjara persekutuan yang mempunyai tahap keselamatan rendah bagi anak guamnya.
Ng memerlukan rawatan kesihatan mental kerana dia mengalami gangguan stres pascatrauma selepas dipenjarakan dalam keadaan kotor di penjara Malaysia selama enam bulan sebelum diekstradisi ke AS untuk diadili, tulis Agnifilo.
Penjara persekutuan itu terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar New York dan menjadi inspirasi untuk penjara wanita dalam 'Orange Is the New Black' di Netflix.
Antara mereka yang dipenjara di sana adalah bintang realiti TV, Teresa Giudice dan penyanyi, Lauryn Hill.
Ghislaine Maxwell juga telah meminta untuk menjalani hukuman 20 tahunnya atas pemerdagangan seks di Danbury, tetapi dia dihantar ke penjara di Florida.
Ng, 51, warganegara Malaysia, telah disabit kesalahan pada April lalu atas konspirasi untuk melanggar undang-undang anti-penyogokan AS dan terlibat dalam skim pengubahan wang haram.
Bekas Pengarah Urusan Goldman yang juga rakan konspirasi 1MDB-nya, Tim Leissner sebelum ini mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kerajaan terhadap Ng.
Dia dijadual dijatuhkan hukuman pada bulan September.
Pencurian berbilion dolar dari dana 1Malaysia Development Berhad dikatakan dirancang oleh usahawan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low
Dia dituduh membayar puluhan juta dolar kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk mendapatkan urus niaga bon yang diatur oleh Goldman, sambil memperoleh AS$1.42 bilion. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!