Ramadan: Masjid Muhammadi buka dataran baharu untuk jemaah

Muhammad Fakhrul melihat dataran untuk berbuka puasa yang siap sepenuhnya dua hari lalu.
Muhammad Fakhrul melihat dataran untuk berbuka puasa yang siap sepenuhnya dua hari lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Masjid Muhammadi di bandar ini akan membuka dataran baharunya sempena sambutan 1 Ramadan pada Khamis bagi memberi peluang jemaah berbuka puasa dengan lebih selesa.

Imam Muda masjid itu, Muhammad Fakhrul Shafikh Mohd Zabidi berkata, dataran yang siap sepenuhnya dua hari lalu antara kemudahan utama untuk keselesaan jemaah.

Menurut beliau, sebelum ini sudah menjadi tradisi di masjid itu berbuka puasa di dewan utama yang juga tempat solat sunat Terawih.

"Pada hari pertama Ramadan kami menyediakan sebanyak 700 bungkus nasi bersama air, kuih dan kurma kerana pengalaman sebelum ini umat Islam akan berbuka bersama keluarga pada awal Ramadan," katanya ketika ditemui di masjid itu pada Rabu.

Muhammad Fakhrul memberitahu, dijangka 8,000 jemaah akan melakukan solat sunat Tarawih di masjid itu setiap malam.

Bagi menampung keperluan itu katanya, kesemua tiga dewan di masjid itu akan dibuka bermula Rabu.

"Kita juga akan melaksanakan program qiamulail bermula jam 4.30 pagi setiap hari yang diimamkan oleh Imam Tua 1, Imam Tua 2 dan Imam Muda secara bergilir-gilir," katanya.

Tambah beliau, orang ramai boleh beriktikaf dan berehat di masjid setiap masa selain mengimarahkannya dengan tadabur a-Quran serta mendengar kuliah agama daripada golongan profesional.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Muhammad Hafizi Ramli berkata, pihak pengurusan masjid itu kini bersedia menerima jemaah untuk solat sunat Tarawih dan berbuka puasa.

Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah pada satu-satu masa dan orang ramai boleh beriktikaf tetapi perlu menjaga adab dan kebersihan.

"Kebiasaannya, kami turut menerima musafir dan pekerja pasar raya di sekitar Kubang Kerian untuk bersama-sama mengerjakan solat wajib dan sunat yang dipimpin oleh imam masjid ini," katanya.

Muhammad Hafizi memberitahu, orang ramai boleh menyertai iftar Ramadan pada 17 Ramadan sempena sambutan Nuzul al-Quran dan Program Qiam With Me pada 27 Ramadan.

"Ambil peluang setahun sekali menyibukkan diri dengan memaksimumkan ibadah bersama keluarga. Anggaplah ini Ramadan terakhir kita," katanya.

Bagi pihak pengurusan Masjid Jamek Sultan Muhamad III, Pasir Mas, Ramadan tahun ini akan memberi kelainan dalam ibadah solat sunat Tarawih apabila imam akan membacakan satu juzuk dalam al-Quran.

Imam Tuanya, Wan Saifuddin Wan Abdul Ghani berkata, sebelum ini hanya memilih surah tertentu sahaja tetapi perubahan berkenaan sesuai dengan sebuah masjid utama di sini selain fokus kepada ibadah sempena Ramadan.

"Kita juga akan melaksanakan banyak program ihya Ramadan untuk mengimarahkan masjid termasuk berbuka puasa selama sebulan," katanya.

Jelasnya, sebagai sebuah masjid yang menjadi tumpuan musafir, pihak masjid akan menyediakan kos kira-kira RM2,000 sehari untuk berbuka puasa.

"Kita akan menyediakan kira-kira 150 bungkus makanan berbuka tetapi bergantung kepada jemaah selepas ini. Jumlah itu hanya untuk hari pertama.

"Bagaimanapun untuk solat sunat Tarawih dijangka kira-kira 700 jemaah akan bersama di masjid yang sudah berusia lebih 93 tahun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!