Nasib keluarga mualaf dapat perhatian LZS
SERENDAH - Nasib tujuh beranak yang tinggal di pondok dalam serba kekurangan di ladang sawit dekat Air Terjun Serendah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS menjejaki dan menemui keluarga Mohammad Ashraf Gopi Abdullah, 42, bagi menyalurkan bantuan sewajarnya, semalam.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, Mohammad Ashraf merupakan seorang mualaf yang memeluk Islam pada 2010.
Menurutnya, hasil daripada rekod LZS mendapati Mohammad Ashraf pernah mengikuti Kelas Fardu Ain Mualaf (KFAM) yang dianjurkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 2015 dan turut menerima elaun kehadiran kelas tersebut.
"Bagaimanapun tiada rekod berkenaan beliau selepas 2015, ini kerana Mohammad Ashraf tidak dapat dijejaki selepas berpindah bersama isteri dan anak-anaknya tanpa memaklumkan kepada panel dakwah mualaf (PDM) yang dilantik Mais.
"Sehubungan itu prihatin dengan kesusahan yang dihadapi, keluarga Mohammad Ashraf didaftarkan sebagai asnaf fakir di LZS,"katanya.
Norajun berkata, sebagai permulaan, keluarga tersebut akan dipindahkan ke rumah sewa yang lebih bersesuaian yang dibiayai LZS.
Menurutnya, Mohammad Ashraf juga akan mengikuti semula KFAM bagi meningkatkan kefahamannya berkaitan Islam.
"Sementara itu, bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan keluarga tersebut bergantung kepada syarat dan kelayakan,"katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan kisah Mohammad Ashraf bersama isteri dan lima anak yang mendiami pondok itu akibat kesusahan hidup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!