Kesedaran hak pengguna di Malaysia di tahap sederhana - Fuziah

Fuziah menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Fuziah menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepenggunaan dan hak sebagai pengguna terutama dalam membuat keputusan pembelian masih di tahap paling sederhana.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, dapatan itu berdasarkan Kajian Pendayaupayaan Pengguna Malaysia Tahun 2019-2022 yang dilaksanakan kementeriannya.

Menurutnya, laporan hasil kajian tersebut mendapati Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia (CEI) berada di tahap sederhana dengan skor 63.1 peratus.

“Perincian lain adalah pertimbangan pembelian ialah 68.8 peratus, literati kewangan 62.5 peratus dan keupayaan untuk membuat aduan serta tuntutan tebus rugi pula adalah 56.1 peratus.

“Hasrat kita kini adalah mahukan 33 juta pengguna Malayiusa menjadi pengguna yang berdaya upaya iaitu pengguna yang bijak, tahu hak dan berani bertindak,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS - Batang Sadong) meminta menyatakan sama ada kementeriannya akan menilai semula dasar-dasar kepenggunaan terutama Dasar Pengguna Negara memandangkan fokus Kementerian telah bertambah kepada isu kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kementeriannya juga sedang menambahbaik Dasar Pengguna Negara (DPN) 1.0 dan dijangka selesai dalam ini.

“Semua elemen penting kepenggunaan telah dikenalpasti untuk dimasukkan dalam penambahbaikan DPN yang akan datang selari dengan hala tuju baharu kementerian dan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Tambahnya, kerajaan melalui kementeriannya juga akan mengkaji bagaimana negara-negara lain yang pendayaupayaan penggunanya di tahap tinggi dan bagaimana persatuan pengguna berperanan untuk dijadikan ‘benchmark’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!