Dua premis melombong bitcoin diserbu
SHAH ALAM - Dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian pintu masuk premis antara taktik digunakan kegiatan perlombongan bitcoin haram yang dikesan menerusi serbuan di dua buah premis di Setia Alam di sini pada Rabu.
Kedua- dua premis yang berselindung di sebalik bangunan kedai dua tingkat ini dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu.
Lebih mengejutkan salah sebuah premis terlibat pernah diserbu sekitar Mei tahun lepas.
Pengarah Peguatkuasaan dan Operasi Kawasan (JPOK), Suruhanjaya Tenaga (ST) Ir Md Zakuan Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati kedua- dua premis ini dikesan menjalankan penyambungan secara haram bekalan elektrik dan pengubahsuaian pada meter.
"Pemeriksaan mendapati telah berlaku pengubah suaian pada meter yang mana meter tidak dapat merekod bacaan sebenar sekali gus mengakibatkan kerugian kepada penyedia utiliti.
"Selain itu, terdapat penyambungan secara haram yang dikhuatiri boleh mengakibatkan risiko berlakunya litar pintas," katanya ketika sidang akhbar selepas operasi serbuan perlombongan bitcoin di Setia Alam di sini pada Rabu.
Katanya, jumlah kerugian keseluruhan yang dialami Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah sebanyak RM240,000.
"Berdasarkan siasatan dijalankan untuk setiap satu premis, jumlah kerugian akibat kecurian elektrik melibatkan jumlah sebanyak RM120,000 melibatkan anggaran tempoh selama enam bulan.
"Jumlah keseluruhan untuk tempoh enam bulan bagi dua premis sebanyak RM240,000," katanya.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pihak empunya premis mengetahui penyewanya menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin ini.
"Pemilik premis diingatkan agar melakukan kajian mengenai tawaran sewa oleh orang persendirian atau mana-mana syarikat untuk menyewa premis mereka.
"Sekiranya pemilik premis mendapati premis yang disewakan merek menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin ini, mereka perlu segera melaporkan kepada TNB atau Suruhanjaya Tenaga agar kegiatan ini dapat dihentikan segera," katanya.
Ujar Md Zakuan, operasi dijalankan bersama Tenaga Nasional Berhad(TNB).
"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447].
"Sekiranya disabitkan kesalahan, syarikat atau individu terbabit akan berhadapan dengan denda sehingga RM 1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM 5 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!