Mangsa kepala air syukur rumah baharu hampir siap
BALING - Penduduk yang terjejas akibat kejadian kepala air di Baling pada 4 Julai tahun lalu khususnya yang mengalami kerosakan teruk dan kediaman dihanyutkan air bersyukur kerana rumah baharu mereka hampir siap.
Mereka yang tinggal di rumah sewa sejak sembilan lalu ternyata tidak sabar untuk mendiami rumah berkenaan.
Penduduk, Maznah Awang, 74, turut teruja dengan perkembangan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha merealisasikan pembinaan rumah baharu tersebut.
"Saya tidak mampu menggambarkan perasaan dengan kata-kata sebab terlalu gembira bila tengok rumah dah nak siap," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurutnya, selain rumahnya, rumah lima orang anaknya turut dihanyutkan kepala air.
"Sekarang kami tinggal di rumah sewa masing-masing di kawasan yang agak jauh dari Kampung Iboi.
"Sekiranya hendak harapkan kami beli tanah dan bina rumah baharu, kami memang tak mampu. Anak-anak saya hanya menoreh getah dan ada yang mengambil upah melakukan kerja-kerja di kampung," katanya.
Maznah berkata, rumah baharu berkenaan lebih cantik daripada rumah asalnya yang dihanyutkan kepala air.
"Saya hanya tinggal dalam rumah yang serba kekurangan, harapnya kami akan dapat berpindah ke rumah ini selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Sementara itu bagi Ahmad Lateh, 73, dia sangat bersyukur melihat perkembangan rumah baharu terbabit.
"Tinggal di rumah sendiri ini perasaan dia lain dari tinggal rumah sewa.
"Sekarang ini walaupun tak sempat berpindah ketika bulan puasa, kami harap selepas raya nanti kami dapat tinggal di sini," katanya.
Ahmad berkata, dia berharap tiada lagi halangan lain selepas ini dan dapat kembali berjiran dengan saudara mara yang lain yang senasib dengannya.
Selepas berlaku kelewatan, pembinaan 12 buah rumah di Desa KEDA Kampung Sadek, Baling, kini hampir siap seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.
Kejadian banjir puing pada 4 Julai itu menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!