'Harap tiada kenaikan harga barang Ramadan ini'

Suasana sekitar Pasar Tani Batu 4 pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Maryam, Alicha
Suasana sekitar Pasar Tani Batu 4 pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Maryam, Alicha
A
A
A

PORT DICKSON - Rata-rata pengunjung di Pasar Tani Batu 4 di sini berharap agar tiada kenaikan harga barangan keperluan terutamanya barangan basah pada Ramadan ini.

Ia berikutan terdapat dakwaan berlaku kenaikan harga barangan di beberapa negeri sejak kebelakangan ini sekali gus akan memberi kesan kepada pembeli dan peniaga.

Pengunjung, Alicha Paijan, 62, berkata, hampir setiap minggu dia akan membeli barangan di pasar tani ini berikutan harga yang ditawarkan berpatutan.

"Kalau harga murah lebih memudahkan orang ramai membuat stok barangan dengan kuantiti yang banyak sepanjang Ramadan.

"Lagipun tumpuan kita bukan untuk makanan sahaja, kita juga perlu menyediakan keperluan lain di rumah," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Program Jualan Terus dari Ladang (JTDL) Madani@ Mantai Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di pasar berkenaan pada Rabu.

Seorang lagi pengunjung, Maryam Soli, 64, dari Kampung Air Meleleh dekat sini turut senada dengan Alicha.

"Kalau ikan di sini mahal sikitlah, tetapi masih berpatutan. Kalau harga sayur pula tak ada pula berlaku kenaikan.

"Kita boleh jimat lima hingga 10 peratus berbanding harga pasaran semasa. Hari ini boleh dapat minyak peket RM2 sahaja, daging RM38 sekilogram.

"Harap bolehlah buat selalu macam ini (program jualan murah), Kalau orang yang kurang berkemampuan itu masih boleh berjimat berbanding beli di pasar," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir turut memberi jaminan pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan berkala supaya tiada berlaku kenaikan harga yang melampau dan mendadak pada Ramadan ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan menyasarkan sebanyak RM170,000 nilai jualan bagi Program Jualan Ramadan Madani pada tahun ini menerusi empat lokasi yang dipilih.

"Selain memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan, ia juga merupakan inisiatif bagi mengelakkan kadar kenaikan harga barangan makanan di sekitar negeri itu menjelang Ramadan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!