Suami isteri didakwa tipu urusan pembekalan telur

Mohamed Hafiz (dua dari kiri) dan isterinya, Intan Hafiezah (empat dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Mohamed Hafiz (dua dari kiri) dan isterinya, Intan Hafiezah (empat dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, atas tuduhan menipu pembekalan 4,245 papan telur ayam tidak wujud, akhir tahun lalu.

Mohamed Hafiz Ibrahim dan isterinya Intan Hafiezah Roslan masing-masing berusia 35 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu didakwa menipu seorang peniaga, Muhammad Syafiq Bashir Ahmed, 32, dengan niat memperdaya kononnya akan membekalkan sebanyak 4,245 papan telur hingga mendorongnya memindahkan sejumlah wang secara berperingkat berjumlah RM52,990.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lot 942, Simpang Ampat antara 13 Disember 2022 hingga 3 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,500 setiap seorang.

Mohamed Hafiz yang merupakan seorang peniaga turut dihadapkan dua lagi pertuduhan iaitu menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kapten dan memakai pakaian yang menyerupai pakaian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan niat menipu mangsa sama.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Syarikat Teck Ping Chan Agriculture Sdn Bhd di Alor Gajah di sini, pada jam 5 petang, 13 Disember tahun lalu.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dijalankan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tiga bulan, atau denda RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret Nurul Bahiyah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Dalam prosiding sama, Mohamed Hafiz turut didakwa menyamar sebagai peguam bagi memperdaya seorang individu lain, Ahmad Farizal Abdul Hajat, 43, untuk membantu menyelesaikan kes saman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hingga mendorong mangsa memindahkan wang tunai sebanyak RM3,000.

Isterinya, Intan Hafiezah didakwa menerima wang tersebut menerusi akaun bank miliknya yang mana tertuduh tidak dapat memberi penjelasan munasabah bagaimana wang tersebut diperoleh antara tempoh 16 Disember hingga 21 Disember 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohamed Hafiz dijamin sebanyak RM5,000 kerana menyamar peguam manakala isterinya dikenakan jaminan RM1,500.

Majistret Nurul Nabihah memutuskan jaminan keseluruhan berjumlah RM15,500 terhadap Mohamed Hafiz dan RM6,000 terhadap Intan Hafiezah dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 5 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!