'Sambut Ramadan ala kadar, tak mahu lebih-lebih'
SEREMBAN - Kedatangan Ramadan tahun ini tidak semeriah tahun sebelum ini berikutan ramai yang memilih melakukan persiapan secara sederhana kerana mahu berjimat.
Malah kebanyakan daripada mereka menjelaskan sudah banyak berbelanja untuk kelengkapan persekolahan anak masing-masing pada minggu lalu.
Peniaga, Zainah Yaakub, 50, yang merupakan ibu kepada tiga orang anak berkata, kelengkapan pendidikan yang perlu dipenuhi agak mencabar berikutan ketiga-tiga anaknya masih belajar iaitu seorang masih bersekolah dan dua lagi sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.
"Pendaftaran sekolah pun tempohnya hampir dengan Ramadan, jadi kita sambut ala kadar sahaja yang penting dapat melaksanakan ibadah puasa dengan baik.
"Bagaimanapun, saya berpandangan suasana akan kembali meriah menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti sebab saya kira sudah lebih dua tahun ia disambut sederhana sebab pendemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson pada Rabu.
Suri rumah, Normala Hashim, 57, pula berkata, setiap tahun keluarganya melakukan persiapan mengikut kemampuan sahaja.
"Kita tak naklah berlebih-lebihan, situasinya sama sahaja ketika Covid-19. Tetapi kalau Hari Mantai iaitu tradisi melapah daging bagi masyarakat Negeri Sembilan, kita beli daging seadanya sahaja untuk buat rendang dimakan bersama anak-anak semasa berkumpul sehari sebelum Ramadan," katanya.
Penjawat awam, Salizah Duasa, 35, turut mengambil langkah untuk berjimat selain mengambil kira kos harga barang yang meningkat.
"Harga barang pun tidak menentu, kejap naik dan turun ditambah pula musim persekolahan yang sama dengan awal Ramadan, jadi banyaklah belanja perlu digunakan," katanya.
Dalam pada itu, mereka turut berharap supaya peniaga di bazar Ramadan mengenakan harga berpatutan terhadap barangan yang dijual termasuklah tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang mentah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!