Sewa mahal punca harga makanan naik di Putrajaya
KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Dewan Negara pada Rabu membangkitkan tentang masalah sewa kedai di medan selera yang terlalu tinggi mengakibatkan harga makanan mahal di Putrajaya.
Menurut Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Perbadanan Putrajaya perlu menyatakan secara jelas mengenai kadar sewa yang ditetapkan di medan selera yang beroperasi di kawasan tersebut.
"Ini adalah berikutan wujudnya rungutan daripada peniaga mengatakan kadar sewa agak tinggi menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan mereka.
"Tidak adil sekiranya harga sewa yang lebih tinggi ini diserap oleh rakyat. Penduduk Putrajaya terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir Putrajaya seperti Sungai Merab, Kajang, Puchong, Sri Kembangan dan Dengkil yang menawarkan harga makanan yang lebih murah.
"Kita boleh membuat perbandingan untuk membayangkan betapa tingginya harga sewa kedai di Putrajaya, iaitu pada purata RM4 hingga RM7 per kaki persegi, manakala di Shah Alam pula hanya RM1.03 hingga RM3.70 per kaki persegi dan RM1.20 sehingga RM4.50 per kaki persegi untuk jenis kedai yang lebih kurang sama di Sentul," katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Negara.
Sehubungan itu, Mohd Hisamudin membangkitkan persoalan sama ada pihak Perbadanan Putrajaya sanggup menyemak semula kadar sewa yang sedia ada bagi memastikan keadilan kepada penduduk di Putrajaya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu parkir yang serius di kawasan tersebut yang menempatkan bangunan-bangunan kerajaan dan kediaman penjawat awam.
"Menurut Kenyataan Media Jabatan Perangkaan Malaysia bertarikh 29 Julai 2022, jumlah penduduk Putrajaya adalah seramai 100,000 orang, dengan pertumbuhan rakyat tertinggi iaitu 4.3 peratus.
"Kebanyakan perumahan awam di Putrajaya mengandungi 400 unit dan ini menyebabkan masalah parkir yang sangat kronik, memandangkan penduduk di Putrajaya semakin bertambah tahun ke tahun," ujar beliau.
Sehubungan itu, Mohd Hisamudin mencadangkan agar Perbadanan Putrajaya menaik taraf tapak parkir sedia ada kepada bangunan parkir bertingkat secara berperingkat dan dari Presint ke Presint.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!