Waktu operasi puncak LRT, Monorel, MRT dan bas diawalkan

Bermula Khamis dan sepanjang Ramadan, perkhidmatan rel LRT, KL Monorel dan MRT bagi operasi waktu puncak sebelah pagi akan bermula jam 6.30 pagi iaitu 30 minit lebih awal berbanding waktu sekarang. - Gambar hiasan
Bermula Khamis dan sepanjang Ramadan, perkhidmatan rel LRT, KL Monorel dan MRT bagi operasi waktu puncak sebelah pagi akan bermula jam 6.30 pagi iaitu 30 minit lebih awal berbanding waktu sekarang. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Bermula Khamis dan sepanjang Ramadan, perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), KL Monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) bagi operasi waktu puncak sebelah pagi akan bermula jam 6.30 pagi iaitu 30 minit lebih awal berbanding waktu sekarang.

Waktu operasi puncak pagi itu diselaraskan sehingga 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu 7 pagi hingga 9 pagi.

Waktu puncak petang pula akan bermula pada jam 4 petang sehingga 8 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 petang waktu sekarang.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan memberitahu, bagi perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan, termasuk bas-bas perantara MRT, operasi waktu puncak pagi adalah dari jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi.

"Manakala waktu puncak petang adalah dari jam 4.00 petang sehingga 8.00 malam.

"Perubahan waktu puncak ini adalah untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, khususnya bagi mereka yang ingin ke destinasi masing-masing bagi berbuka puasa," menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu, sempena Ramadan juga, anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan membuka bazar Ramadan di lima stesen LRT terpilih.

Stesen-stesen yang terlibat adalah stesen LRT Pasar Seni, LRT Damai, LRT Sri Rampai, LRT Putra Heights dan LRT Ampang.

"Pelbagai juadah berbuka puasa akan dijual bermula jam 3.30 petang hingga 7.30 malam.

"Kemudahan ini dapat memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan juadah berbuka puasa," tambah kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!