Anwar, isteri selesai tunai umrah
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menunaikan ibadah umrah sempena lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi bermula pada Rabu.
Terdahulu Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada jam 6.42 pagi waktu tempatan atau 11.42 pagi (waktu Malaysia).
"Alhamdulillah, saya bersama Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan delegasi Malaysia selesai melaksanakan ibadah umrah sebentar tadi.
"Mendoakan kesejahteraan buat rakyat dan negara serta usaha kita menjadikan Malaysia kembali kuat dan gah diberkatiNya, Insya-ALLAH," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula 22 hingga 24 Mac atas jemputan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta pegawai kanan kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!