Sri Lanka terima bayaran pertama AS$330 juta dana IMF

Sri Lanka bakal menerima bayaran pertama sebanyak AS$330 juta daripada keseluruhan AS$3 bilion dana IMF bagi membantu negara Asia Selatan itu menangani masalah kewangan. - AFP
Sri Lanka bakal menerima bayaran pertama sebanyak AS$330 juta daripada keseluruhan AS$3 bilion dana IMF bagi membantu negara Asia Selatan itu menangani masalah kewangan. - AFP
A
A
A

ISTANBUL - [DIKEMAS KINI] Sri Lanka bakal menerima bayaran pertama sebanyak AS$330 juta daripada keseluruhan AS$3 bilion dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu negara Asia Selatan itu menangani masalah kewangan.

Dalam kenyataan pada lewat Selasa, IMF memaklumkan bahawa pengaturan 48 bulan di bawah Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) itu dijangka memangkinkan kewangan luar baharu termasuk daripada Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia.

Pada Isnin, IMF meluluskan permohonan dana bernilai AS$2.9 bilion untuk Sri Lanka yang gagal membayar hutang asingnya pada April lalu. Negara itu kini menghadapi krisis kewangan terburuk dalam tempoh beberapa dekad akibat salah urus ekonomi dan kesan pandemik Covid-19.

Ia merupakan dana ke-17 IMF untuk Sri Lanka dan yang ketiga sejak perang saudara selama beberapa dekad yang berakhir pada 2009.

Menurut pejabat presiden Sri Lanka, program itu akan membolehkan negara berkenaan mengakses pembiayaan sehingga AS$7 bilion daripada institusi kewangan antarabangsa yang berbeza.

"Sri Lanka berhadapan krisis ekonomi yang teruk akibat kesilapan dasar pada masa lalu serta kejutan ekonomi. Kami bimbang tentang kesan krisis terhadap rakyat Sri Lanka, terutama golongan miskin dan mudah terjejas," menurut IMF.

Inflasi di negara yang dilanda hutang itu meningkat kepada 53.6 peratus pada Februari, meningkat daripada 53.2 peratus pada Januari, menurut jabatan statistik pada Selasa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!