Karangkraf tawar pemeriksaan kesihatan percuma

Kakitangan Karangkraf membuat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh di di Bangunan Karangkraf pada Rabu.
Kakitangan Karangkraf membuat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh di di Bangunan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) menawarkan pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh secara percuma kepada semua kakitangannya bagi membantu mengurangkan beban mereka memandangkan kos saringan itu semakin meningkat.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pemeriksaan kesihatan memerlukan kos yang tinggi iaitu lebih RM100 jika dibuat di mana-mana klinik atau hospital swasta.

Katanya, melalui program itu, kakitangan syarikat dapat melakukan pelbagai ujian kesihatan termasuk menyemak kandungan gula, kolesterol dalam darah, tekanan darah, ukuran indeks jisim tubuh badan (BMI), ujian air kencing serta sesi kaunseling secara percuma.

"Dengan faktor ekonomi sekarang, harga pemeriksaan kesihatan juga naik. Kalau seorang RM100 tambah anak dan isteri sudah pasti kos semakin meningkat sedangkan ia perlu dilakukan secara berkala.

"Oleh itu, sebagai tanda keprihatinan syarikat kepada kakitangan, kami menganjurkan pemeriksaan kesihatan secara percuma bukan sahaja kepada mereka yang berkhidmat dengan Karangkraf malah keluarga juga," katanya pada Rabu.

Program yang mendapat kerjasama daripada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) itu bermula pada jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang hari ini di Bangunan Karangkraf.

Tambah Nik Justin, pihaknya menyasarkan program sedemikian diadakan empat kali setahun bagi memastikan semua kakitangan berada dalam keadaan sihat.

"Saya rasa kerja efisien bergantung kepada kesihatan pekerja yang optimum, kita bekerja dalam bidang media, semuanya tidak menentu. Jadi, kesihatan mereka adalah tanggungjawab kami," jelasnya.

Beliau berpendapat, kesedaran mengenai kesihatan semakin tinggi dalam kalangan kakitangan.

"Alhamdulillah, sambutan hari ini sangat menggalakkan. Ramai dalam kalangan pekerja datang untuk membuat pemeriksaan kesihatan malah ada yang membawa pasangan dan anak-anak.

"Sejak dibuka pagi tadi, mereka tidak putus-putus mengunjungi 'booth' untuk membuat pemeriksaan kesihatan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!