Polis Johor tingkat keselamatan rumah ibadat
JOHOR BAHRU - Polis Johor meningkatkan rondaan dan kawalan di semua rumah-rumah ibadat di negeri ini, susulan insiden pengeboman di Sri Lanka, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, beliau telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk mengambil tindakan sedemikian.
"Saya telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk mempertingkatkan rondaan dan kawalan di semua rumah-rumah ibadat.
"Dan setakat hari ini, kita belum ada menerima sebarang maklumat ancaman terhadap rumah rumah ibadat di Johor. Saya berharap perkara ini tidak berlaku di sini, Insya-ALLAH," katanya ketika ditemui pada Majlis Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis Ke-212 di Plaza Pelangi Mall di sini hari ini.
Selain itu, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya juga sentiasa membuat pemantauan di pintu-pintu masuk ke negara ini, menerusi Johor terutama di Tambak Johor dan LinKedua.
"Insya-ALLAH setakat ini, kita dalam keadaan berjaga-jaga. Di peringkat kita, maklumat yang kita ada ini, setakat ini tidak ada ancaman-ancaman begini di Johor," katanya.
Ditanya sama ada wujudnya pengaruh kumpulan pengganas di Johor, beliau tidak menafikan mengenai perkara itu, namun menegaskan ia berada di dalam kawalan dan pemantauan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!