Nak untung RM200,000 tapi wang simpanan RM37,000 lesap
SIBU - Akibat terpaut dengan tawaran pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan melebihi RM200,000 di aplikasi telegram, seorang wanita tertipu, dan mengalami kerugian berjumlah RM37,217.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, wanita berumur 30-an itu kehilangan wang simpanannya yang dipindahkan ke lima akaun bank sehingga semalam, dengan harapan mendapatkan keuntungan tinggi.
"Wanita itu membuat tujuh transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berasingan antara 8 dan 20 Mac bagi tujuan mendapatkan mata serta keuntungan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
"Wanita itu merasakan dirinya ditipu hanya selepas diminta untuk membuat pindahan wang sebanyak RM41,447 bagi mendapatkan semula wangnya dengan bonus berjumlah RM273,439,” katanya.
Zulkipli seterusnya menasihati orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan pelaburan yang dibuat dan tidak mudah terpedaya dengan pulangan lebih tinggi yang dijanjikan berbanding dengan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai sebarang pelaburan yang meragukan boleh dirujuk kepada balai polis berdekatan atau di http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di 013-2111222, 03-26101559/03-26101599, https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP atau di talian 997. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!