Budaya dan nilai penentu kejayaan syarikat
PETALING JAYA - Budaya dan nilai yang dibentuk dalam sebuah organisasi menentukan produktiviti serta jatuh dan bangun sesebuah syarikat itu.
Pengarah ACT Consulting & Education Sdn Bhd, Mohammed Razib Abu Bakar berkata, banyak syarikat tidak dapat bertahan lama kerana gagal berkembang.
“Jualan tak naik syarikat jadi tak berkembang, sudah pasti sistem serta nilai dalam syarikat perlu diberi perhatian agar staf mempunyai matlamat jelas tentang visi dan misi syarikat.
“Sebagai contoh staf dalam syarikat juga perlu diberi penghargaan misalnya untuk mereka kekal menyumbang tenaga itulah yang memberi semangat mereka bekerja,” katanya pada pada program 'Sustain Your Business, Retain Your Team & Grow Your Business' di GlamHall Damansara Perdana pada Rabu.
Seramai 150 peserta terdiri daripada pengasas dan pemilik 85 buah syarikat seperti MyGrocer, UiTM Shah Alam, Koperasi Sahabat Amanah ikhtiar Malaysia hadir pada program itu turut berpeluang mengikuti ceramah yang disampaikan daripada mereka yang berpengalaman.
Antara penceramah yang hadir termasuklah Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Sifu Jamal, Firdaus G.Djamaris (penceramah ESQ) dan juga Pengarah Urusan Rima Ginanjar Green Architects, Rima Ginanjar.
Sementara itu Rima Ginanjar yang memperjuangkan 'zero carbon architecture' dalam pembinaan rumah kediaman dan bangunan berkata, reka bentuk bangunan pejabat juga mampu meningkatkan produktiviti bekerja menerusi pencahayaan yang cukup, reka bentuk ruang, susun atur perabot dan hubungannya dengan alam sekitar.
Menurutnya, komunikasi dan psikologi staf juga menjadi lebih baik jika ruang pejabat mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
“Reka bentuk bangunan juga memainkan peranan penting untuk diterapkan dengan 'zero carbon architecture' seperti menggunakan mentol LED dan serta mempunyai panel solar,” katanya.
Rima berkata, jika penggunaan tenaga dapat dijimatkan ia dapat mengelak kepada berlakunya impak perubahan iklim yang menjadi penyumbang kepada kejadian bencana alam.
Jelasnya, menurut laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Cuaca (IPCC) pada tahun 2007 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada 90 peratus pemanasan global sejak 50 hingga 60 tahun lalu adalah berpunca daripada aktiviti manusia.
“Disebabkan proses inilah terjadinya pemanasan global yang meningkatkan suhu atmosfera bumi secara berterusan.
“Antara penyebab lain perubahan iklim adalah penjanaan dan penggunaan elektrik, pembakaran bahan api fosil, pengilangan barangan termasuk makanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!