Tabung #BantuanBencana raih kutipan lebih RM300,000

Farah menyerahkan mock cheque Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare yang berjaya mengumpul sebanyak RM306,901.23
Farah menyerahkan mock cheque Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare yang berjaya mengumpul sebanyak RM306,901.23
A
A
A

SHAH ALAM - Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare yang dilancarkan sejak 8 Februari sehingga 1 Mac lalu telah berjaya meraih sumbangan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM306,901.23

Pengarah Eksekutif Grup Media Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, kejayaan kutipan sumbangan itu hasil sokongan luar biasa daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat lain.

“Sejurus berlakunya gempa bumi di Turkiye dan Syria, kami mula menggerakkan Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare dan meletakkan sasaran untuk mengumpul sumbangan sebanyak RM250,000.

“Menerusi bantuan fasa pertama, sebanyak RM100,000 digunakan oleh pasukan misi kemanusiaan untuk membeli barangan keperluan asas seperti bahan pemanas, makanan dan khemah dan ubat-ubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Farah Hussamuddin
Farah Hussamuddin

Tambah Farah, bagi sumbangan fasa kedua, pihaknya merancang untuk menghulurkan bantuan pemulihan jangka masa panjang.

Jelasnya, fasa berkenaan memfokuskan kepada usaha membaik pulih kediaman dan mewujudkan penempatan tetap kepada mangsa bencana.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan terhadap sokongan rakyat Malaysia, NGO, syarikat korporat, sekolah dan persatuan yang menghulurkan sumbangan, sekali gus membuktikan Sinar Karangkraf adalah sebuah jenama yang dipercayai oleh rakyat.

“Diharapkan kerjasama di antara Sinar Karangkraf dan SyriaCare dapat menjadi pemula kepada pemulihan berterusan dan boleh mengangkat sedikit derita ribuan mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye,” ujarnya.

Siti Sakinah
Siti Sakinah

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SyriaCare, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, dua per tiga daripada jumlah sumbangan akan digunakan untuk pembinaan perumahan yang lebih teratur untuk mangsa bencana.

Ujar beliau, pihaknya telah mengenal pasti sebidang tanah untuk membina rumah tersebut.

“Pihak kami juga bakal berangkat ke Syria tidak lama lagi, jadi segala maklumat terperinci tentang projek pemulihan akan kami maklumkan sebaik sahaja tiba di negara itu,” jelasnya.

Majlis penyerahan mock cheque itu turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan barisan petugas SyriaCare.

Sumbangan fasa kedua, Sinar Karangkraf merancang untuk menghulurkan bantuan pemulihan jangka masa panjang.
Sumbangan fasa kedua, Sinar Karangkraf merancang untuk menghulurkan bantuan pemulihan jangka masa panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!