Pemuda Amanah bidas cadangan Syed Saddiq bawa artis K-Pop

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Amanah Nasional membidas tindakan Menteri dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa kumpulan K-Pop terkenal, BTS ke Malaysia selewat-lewatnya pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia.

Naib Ketua, Pemuda Amanah Nasional, Kevin Shawn Gomez berkata, usaha kementerian itu tidak selaras dengan cita-cita dan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menjimatkan duit kerajaan dari perbelanjaan yang tidak perlu dan melaksanakan polisi-polisi dan inisiatif yang lebih peka kepada keperluan rakyat.

"Kementerian Belia dan Sukan sepatutnya fokus kepada perkara-perkara yang sedang meruncing seperti kemerosotan prestasi atlit dalam acara seperti bola sepak, badminton, skuasy, balapan dan hoki.

"Selain itu fokus juga perlu pada penambahbaikan fasiliti-fasiliti sukan seluruh negara, di mana ada sebahagiannya dalam keadaan rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan.

"Walaupun ada sebahagian fasiliti-fasiliti ini berada di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Majlis Sukan Negeri (MSN) namun harus ada perbincangan antara KBS dengan pihak berkepentingan untuk menyelesaikan masalah fasiliti sukan yang terabai," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mengumumkan KBS kini dalam usaha membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan kerjasama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes.

ARTIKEL BERKAITAN: KBS dalam usaha bawa kumpulan K-Pop BTS ke Malaysia

Ekoran itu, Kevin berkata, Pemuda Amanah Nasional tidak membantah usaha untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia pada para belia di dalam dan luar negara, namun konsert dari kumpulan-kumpulan muzik luar negara bukanlah urusan KBS dan lebih baik diserahkan pada pihak swasta.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat yang dimiliki kerajaan seperti Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bukanlah suatu entiti yang boleh digunakan untuk perkara-perkara yang tiada faedah atau nilai tambah kepada rakyat," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya Syed Saddiq dan KBS mempertimbangkan semula rancangan untuk membawa masuk kumpulan BTS dan menggunakan wang yang dijimatkan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat terutama 'Gym Rakyat'.

"Dalam situasi ramai rakyat Malaysia yang semakin dibelenggu masalah obesiti dan tidak mempunyai masa untuk bersukan, sekurang-kurangnya ia akan menjayakan salah satu aspirasi KBS iaitu, 'FitMalaysia' untuk memupuk kejayaan sukan di arena global.

Tegas Kevin, KBS wajib mendahulukan kepentingan rakyat dan bukannya sekadar memberikan gula-gula hiburan untuk melalaikan rakyat seperti mana yang pernah dilakukan Kerajaan Barisan Nasional suatu ketika dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!