Rumah sewa indah khabar dari rupa

Ada penyewa sanggup menyewa rumah berkongsi sehingga 10 orang penghuni dalam satu kediaman. (Gambar kecil dari kiri: Muhammad Adib, Mohamad Faris, Noor Azilah dan Saravanan)
Ada penyewa sanggup menyewa rumah berkongsi sehingga 10 orang penghuni dalam satu kediaman. (Gambar kecil dari kiri: Muhammad Adib, Mohamad Faris, Noor Azilah dan Saravanan)
A
A
A

APA Khabar Rakyat kali ini melaporkan berkenaan harga bilik atau rumah sewa di sekitar Lembah Klang yang didakwa tidak berpatutan.

Malah ada yang mengibaratkan seperti rupa tidak seindah khabar apabila harga yang diletakkan tidak setanding dengan bilik yang disediakan.

Wartawan Sinar Harian, Nazrin Zulkafli cuba menyelami masalah tersebut melalui tinjauan di sekitar Lembah Klang.

Kadar harga bilik sewa tinggi yang dikenakan oleh pemilik kediaman terutama di Lembah Klang seolah-olah menjadi satu kebiasaan.

Lebih menyedihkan, sudahlah harga sewa mahal, kemudahan yang disediakan pula ibarat indah khabar dari rupa kerana tidak berbaloi dengan harga yang dibayar.

Namun disebabkan terdesak, ada penyewa sanggup berkongsi sehingga 10 orang penghuni dalam satu kediaman.

Keadaan bilik sewa yang kosong, tidak dilengkapi katil dan almari.
Keadaan bilik sewa yang kosong, tidak dilengkapi katil dan almari.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur, Muhammad Adib Akmal Mirandy, 22, berkata, bayaran sewa rumah hampir RM2,000 adalah tidak masuk akal memandangkan tiada sebarang perabot disediakan.

Menurutnya, rumah yang disewa sehingga 10 orang itu juga tidak menyediakan kemudahan asas rumah seperti katil, almari dan peralatan memasak.

“Sewa yang dikenakan memang mahal dan tidak berbaloi memandangkan rumah yang diberikan kosong tapi kami tiada pilihan. Tuan rumah hanya sediakan almari dapur sahaja.

“Dengan kadar sewa sebulan seperti itu, sepatutnya tuan rumah sediakan kelengkapan lain. Tilam, meja belajar, semua kami kena beli sendiri,” katanya pada Rabu.

Namun begitu, sebagai seorang pelajar, dia terpaksa akur dengan harga tersebut memandangkan kedudukan rumah tersebut terletak di tengah ibu kota.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa berjimat cermat. Saya memasak untuk berjimat. Makan sehari sekiranya saya tidak masak mencecah sehingga RM15,” ujarnya.

Keadaan ruang tamu rumah sewa yang dijadikan tempat belajar pelajar sebuah universiti di ibu kota.
Keadaan ruang tamu rumah sewa yang dijadikan tempat belajar pelajar sebuah universiti di ibu kota.

Sementara itu, pekerja swasta, Mohamad Faris Abu Bakar, 28, berkata, dia terpaksa membayar RM400 sebulan untuk sebuah bilik kecil di Bangsar.

“Saya menyewa sebuah bilik di rumah teres. Di rumah sewa ini, mereka tambah bilik sendiri menggunakan pembahagi (dinding pemisah) untuk dapatkan lebih banyak bilik.

“Bilik di kawasan dapur pun ada. Oleh itu, tuan rumah akan dapat banyak penyewa dan lebih banyak untung. Ini semestinya tidak berbaloi sebab saya tidak dapat duduk di kediaman yang sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohamad Faris, dia tidak ada pilihan lain kerana bilik sewa itu berdekatan dengan tempat kerja.

“Walaupun tidak berbaloi dengan harga, namun ia sangat dekat dengan tempat kerja. Jadi, saya boleh jimat duit minyak. Ada baik dan buruknya,” ujarnya.

Noor Azilah Mohd Idris, 25, yang bertugas sebagai Eksekutif Khidmat Pelanggan turut sependapat dengan Mohamad Faris.

Katanya, untuk sebuah bilik kecil, sepatutnya harga sewa tidak melebihi RM300 sebulan.

Jelasnya, rumah yang kecil, ditambah dengan barangan pemilik rumah menyebabkan penyewa mempunyai ruangan yang sangat terhad.

“Harga sewa saya bayar sekarang sebanyak RM400 sebulan. Pemilik rumah pula simpan barang sendiri di dekat rumah sewa. Saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku.

“Penyewa tidak boleh bawa barang luar masuk rumah kecuali barang keperluan sebab ruang yang sangat terhad,” jelasnya.

Bilik penyewa bernilai RM400.
Bilik penyewa bernilai RM400.

Justeru Noor Azilah berharap kerajaan dapat mengkaji akta sewaan agar tidak membebankan rakyat.

Perhalusi RUU Akta Sewaan Kediaman secepat mungkin

Sementara itu, lerajaan digesa untuk membincangkan dan memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman di Parlimen dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, RUU tersebut perlu diteliti bagi memberi lebih banyak manfaat kepada penyewa.

“Perlu teliti semula rang undang- undang ini. Kalau boleh perlu diperhalusinya. Bawa ke Parlimen secepat mungkin.

“Ini boleh selesaikan pelbagai perkara terutama rumah atau bilik sewa yang terlalu mahal buat penyewa,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diteliti adalah piawaian dan kriteria bagi pemilik rumah untuk menetapkan harga sewaan.

Jelasnya, dengan kriteria yang telus, ia menjadikan pemilik menetapkan harga sewaan mengikut harga pasaran.

Tambah Saravanan, apabila adanya akta, ia membolehkan kerajaan menguatkuasakan undang-undang atau kawalan.

“Tanpa akta, rakyat buat aduan pun, masih tiada tindakan dikenakan. Bila ada, ia melindungi pengguna.

“Jadi, kalau belum ada (akta), tolong bawa secepat mungkin kepada Parlimen untuk wartakan ia. Melalui ini, pengguna dapat manfaat.

“Banyak negara yang telah ada akta sedemikian. Ia sememangnya bagus untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!